Graduan Malaysia antara penderma ovum IVF, kata ejen penuhi impian warga Singapura

Graduan Malaysia antara penderma ovum IVF, kata ejen penuhi impian warga Singapura

Seorang ejen berkata penderma ovum secara umum melakukannya untuk membantu wanita lain.

PETALING JAYA:
Seorang ejen di Malaysia mendakwa ramai penderma ovum di agensinya bagi persenyawaan in vitro (IVF) adalah pemegang ijazah dan umumnya berusia antara 21 dan 32 tahun.

“Ada juga doktor, peguam dan akauntan,” kata Christine Gautaman, yang menguruskan Heart to ART, sebuah firma di Selangor kepada media Singapura, Straits Times dalam laporan semalam.

Gautaman berkata walaupun penderma ovum diberi ganjaran atas usaha dan masa mereka, tetapi mereka secara umum melakukannya untuk membantu wanita lain.

“Wanita-wanita ini sangat sedar akan anugerah kehidupan yang mereka beri pada penerimanya,” tambahnya.

Gautaman bagaimanapun tidak mendedahkan nilai ganjaran, tetapi kos melalukan IVF menggunakan seorang penderma ovum sekitar RM50,000, termasuk fi yang dibayar kepada penderma, rawatan untuk mengambil ovum penderma, dan prosedur IVF untuk bakal ibu.

Straits Times dalam laporannya berkata ramai juga rakyat republik itu yang memerlukan penderma ovum akan ke Malaysia untuk membantu mereka mendapatkan anak.

Menurut laporan itu, rakyat Singapura lebih suka menggunakan penderma telur tanpa nama kerana tiada hubungan penderma dan mahu membesarkan anak berkenaan seperti anak sendiri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.