Dr M mohon maaf atasi krisis kewangan 1997 untungkan taikun

Dr M mohon maaf atasi krisis kewangan 1997 untungkan taikun

Mahathir Mohamad berkata jika beliau tidak berbuat demikian kerajaan akan hilang cukai korporat dan cukai pendapatan kerana ia dibayar oleh taikun.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memohon maaf atas tindakannya dalam mengatasi krisis kewangan pada 1997-1998 yang menguntungkan taikun.

Beliau mengaku terlibat dengan pendekatan dalam mengatasi kewangan ketika itu dan berkata jika boleh tidak mahu menguntungkan taikun.

“Memanglah baik jika kita tidak menolong taikun dan biarkan mereka dan perniagaan mereka rugi, gagal dan terpaksa ditutup.

“Dengan ini semua kakitangan mereka (yang kaya dan tidak kaya) akan menganggur. Eksport kita akan menurun dan tidak akan ada pengaliran wang asing ke dalam negara kita,” katanya menerusi catatan blog.

Mahathir berkata kerajaan pula akan hilang cukai korporat dan cukai pendapatan kerana sebahagian
besar cukai dibayar oleh taikun.

“Sebahagian besar dari dana kerajaan akan hilang. Operasi dan pembangunan negara tidak dapat diteruskan. Segala infrastruktur tidak dapat dibangunkan,” katanya.

Mahathir berkata dalam keadaan kehilangan cukai ke atas taikun, negara terpaksa mengenakan cukai kepada yang bukan ditakrif sebagai taikun.

Beliau berkata setelah membayar cukai oleh bukan taikun, mereka akan masuk dalam golongan mereka yang miskin.

“Pada satu masa 70 tahun dahulu taikun dibunuh dan harta mereka dirampas di beberapa buah negara.

“Semua perniagaan dan perusahaan diambil oleh pemerintah dengan harapan 100% dari keuntungan akan diperolehi oleh kerajaan,” katanya.

Mahathir berkata kerajan boleh mengambil tindakan menghalau keluar semua taikun terbabit.

“Jangan tolong mereka. Biar mereka bankrap. Kita akan tolong yang bukan taikun sahaja.

“Apakah tidak mahu membantu bukan taikun itu selepas semua taikun tidak dapat bayar cukai. Itu soalannya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.