Cukuplah, jangan taasub dengan jawatan PM

Cukuplah, jangan taasub dengan jawatan PM

Hentikan polemik ini dengan segera sebelum rakyat semakin muak dan bosan. Jangan wujudkan situasi di mana pengundi mula menyesal mengundi PH.

Perdebatan tentang peralihan kuasa antara Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dengan Presiden PKR, Anwar Ibrahim terus mencetuskan suasana ‘kelam kabut’ dalam dunia politik tanah air. Hal ini terlalu signifikan dan mempunyai impak besar kerana membabitkan jawatan nombor satu dalam pentadbiran negara.

Justeru setiap pandangan, kritikan mahupun desakan dibuat oleh mana-mana pihak, terutamanya pemimpin politik dari Pakatan Harapan (PH) sendiri jika tidak diurus dan ditangani dengan berhemat dan bijak bukan saja boleh ganggu sistem pentadbiran kerajaan malah turut boleh meragut kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.

Hakikatnya sebahagian besar pengundi telah memberikan mandat kepada PH dalam Pilihan Raya Ke-14 (PRU14) untuk memimpin negara. Mandat ini adalah bersandarkan kepada harapan agar PH mampu memimpin perubahan yang rakyat mahukan.

Harus diingat dalam memberikan mandat ini rakyat telah mengambil risiko besar dengan menolak kerajaan lama yang telah menerajui negara melebihi 60 tahun. Ini boleh dianggap sebagai pengorbanan terbesar rakyat, lantaran itu besarlah harapan semua agar mandat ini tidak dipersia-siakan begitu saja.

Perbahasan secara terbuka tentang polemik peralihan jawatan perdana menteri ini sebenarnya cukup mengganggu pemikiran rakyat. Apa tidaknya, para pemimpin dari PH sendiri saling balas-membalas dengan pelbagai reaksi sehingga menimbulkan tanda tanya yang besar dalam kalangan anggota masyarakat kenapa jadi sampai begini.

Sebagai parti pemerintah bukankah mereka ada banyak saluran untuk bincang dan rungkai apa jua masalah yang timbul apatah lagi isu besar seperti peralihan kuasa ini.

Peliknya perkara ini semakin menjadi-jadi. Ada satu kem cuba mendesak agar peralihan kuasa disegerakan. Satu lagi kem pula mahu Mahathir meneruskan dan menjadi perdana menteri sehingga tamat penggal. Pertembungan kedua pihak ini menyebabkan rakyat semakin keliru, cemas dan risau membayangkan masa depan dan hala tuju negara.

Rakyat risau isu ini boleh menjejaskan segala perancangan dan pelaksanaan program dan dasar sekali gus mengganggu proses transformasi dan pembangunan negara.

Harus diingat pada hari ini rakyat sedang berhadapan dengan pelbagai masalah dalam kehidupan seharian. Masalah ekonomi yang tidak menentu, peningkatan kos sara hidup serta harga barangan yang mendadak, peluang pekerjaan terutamanya kepada graduan baru yang secara relatifnya masih sedikit dan tidak sepadan dengan kelayakan mereka, masalah harga rumah yang terlalu tinggi menyebabkan begitu sukar untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana terutamanya miskin bandar memiliki rumah serta pelbagai isu peringkat nasional yang lain seperti masalah perpaduan kaum yang merisaukan, hutang negara yang tinggi dan juga ancaman pengganas yang mula membimbangkan semua.

Ironinya rakyat mahu pemimpin politik fokus dan tangani isu-isu ini dengan segera dari terlalu sibuk berdebat dan bercakaran tentang peralihan kuasa.

Sebagai parti pemerintah sepatutnya isu besar ini diselesaikan secara bijak dan matang melalui mesyuarat Majlis Presiden PH. Ahli parti perlu beri ruang dan kepercayaan kepada presiden masing-masing bincang dan selesaikan isu ini dan tidak perlulah semua orang sibuk bercakap tentang hal ini.

Mahathir sendiri baru-baru ini bersetuju agar perkara ini dibincangkan dalam Majlis Presiden. Sedar atau tidak gelagat sesetengah ahli parti yang bertindak umpama lebih sudu dari kuah ini bukan saja menganggu proses peralihan yang sepatutnya berlaku secara tertib dan teratur, malah mula menzahirkan kogopohan dan kepincangan dalam parti kepada umum. Bukankah ini akan menjejaskan reputasi PH sebagai parti pemerintah, di samping boleh merobek keyakinan rakyat.

Jadi cukup-cukuplah bercakaran sesama sendiri tentang soal peralihan kuasa ini.

Hentikan polemik ini dengan segera sebelum rakyat semakin muak dan bosan. Jangan wujudkan situasi di mana pengundi mula menyesal mengundi PH.

Biarkan Majlis Presiden selesaikan isu ini. Yang lain perlu fokus dan pikul tanggungjawab untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang sedang melanda masyarakat dan negara. Jangan terlalu taasub dan berpolitik sehinggan abaikan masalah rakyat.

Noor Mohamad Shakil Hameed adalah Timbalan Pengarah Strategi Korporat dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.