Kadir saran rakan Najib dari Indonesia beli semula saham dijual pada Felda

Kadir saran rakan Najib dari Indonesia beli semula saham dijual pada Felda

Wartawan veteran itu turut menyarankan pihak berkuasa menyasarkan aset dan kepentingan Peter Sondakh di Malaysia dalam usaha mendapatkan kembali wang Felda.

Kadir Jasin menyasarkan taikun Indonesia, Peter Sondakh untuk Felda mendapatkan kembali wangnya.
PETALING JAYA:
Wartawan veteran, A Kadir Jasin mencadangkan taikun Indonesia, Peter Sondakh diminta membeli semula saham sebuah syarikat di negara jiran yang dijual kepada Felda untuk mendapatkan kembali wang milik agensi kerajaan itu.

Beliau turut menyarankan pihak berkuasa menyasarkan aset dan kepentingan Sondakh yang merupakan kawan baik bekas perdana menteri, Najib Razak, di Malaysia dalam usaha mendapatkan kembali wang Felda.

“Dia ada banyak harta di Malaysia, termasuk beberapa buah hotel mewah di Kuala Lumpur dan Langkawi yang dibeli atau dibina dengan pinjaman mudah daripada bank-bank tempatan, khususnya Bank Pembangunan dan perkongsian dengan Khazanah Nasional Berhad,” tulisnya di blognya pada Ahad.

Kadir yang juga penasihat media Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad berkata, Sondakh berjanji membeli semula 37% saham PT Eagle High Plantations Tbk (EHP) yang dijual kepada Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) pada 2015 melalui proses “put option”.

Katanya, “put option” itu berkuat kuasa jika EHP gagal memenuhi syarat dan persijilan Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Mampan (RSPO) bagi semua ladangnya.

“Setakat ini, menurut laporan media, dia hanya berjaya mendapatkan sijil RSPO untuk sebuah ladang saja.”

Beliau berkata, siasatan forensik bebas yang diarahkan pengurusan baru Felda selepas Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lalu mendapati beberapa pemimpin kanan Umno dalam kerajaan terdahulu terbabit dalam salah pengurusan agensi itu.

April lalu, Najib mempertahankan pelaburan Felda dalam EHP dan menggesa kerajaan PH mendedahkan perjanjian yang dimeterai dua syarikat perladangan itu.

Kenyataan itu sebagai maklum balas terhadap laporan polis Felda yang mendakwa ia ditipu Najib untuk melabur AS$505 juta (RM2.3 bilion) dalam EHP.

Najib dilaporkan berkata, beliau menggesa kerajaan pada awal Feb lalu mendedahkan “put option” yang menjadi sebahagian perjanjian itu, tetapi Putrajaya mendiamkan diri.

Katanya, “put option” itu akan membolehkan Felda menjual semula 37% saham EHP kepada syarikat Indonesia itu pada harga pembelian asal ditambah kadar faedah tahunan 6% yang ditanggung EHP.

FMT cuba mendapatkan komen Sondakh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.