Polis serah kertas siasatan 12 didakwa babit LTTE pada peguam negara

Polis serah kertas siasatan 12 didakwa babit LTTE pada peguam negara

Polis berkata, terpulang kepada peguam negara sama ada akan mendakwa atau membebaskan 12 individu itu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas Cawangan Khas Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay.
KUALA LUMPUR:
Polis sudah menyerahkan kertas siasatan 12 individu, termasuk dua Adun DAP yang ditahan kerana disyaki ada kaitan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) kepada Jabatan Peguam Negara.

“Kita tunggulah keputusan yang akan dibuat Pejabat Peguam Negara. Peguam negara akan buat penelitian bagi menentukan sama ada cukup atau tidak bukti untuk menuduh atau sama ada akan dibebaskan.

“Yang pasti, urusan berkaitan dengan polis sudah habis,” kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata, 12 individu itu dibenarkan menemui ahli keluarga mereka sempena sambutan Deepavali hari ini.

“Setiap keluarga diberikan masa selama 2 jam untuk berjumpa. Mereka bawa makanan siap-siap.”

Katanya, khidmat doktor turut disediakan jika ada tahanan yang jatuh sakit.

“Setakat ini, kesihatan mereka baik dan tiada masalah kesihatan yang besar. Kita memberi khidmat perubatan secukupnya.”

Dua belas individu itu ditahan sejak 10 dan 12 Okt lalu, susulan operasi ke atas penyokong LTTE yang didakwa cuba menghidupkan semula kumpulan pengganas itu.

Mereka ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) yang membenarkan penahanan selama 28 hari tanpa perbicaraan.

Lima daripadanya, termasuk Adun Seremban Jaya, M Gunasekaran, Adun Gadek, G Saminathan dan dua lagi ahli DAP memfailkan permohonan habeas corpus pada 21 Okt lalu untuk memohon dibebaskan daripada penahanan di bawah Sosma.

Kumpulan LTTE disenaraikan sebagai kumpulan pengganas di Malaysia sejak 2014.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.