Mampukah Pemuda BN bertindak melampaui kepentingan politik, soal penganalisis

Mampukah Pemuda BN bertindak melampaui kepentingan politik, soal penganalisis

Siri jelajah Pemuda BN tidak akan memberi apa-apa manfaat kepada negara sekiranya ia hanyalah usaha bagi mendapatkan sokongan politik.

Penganalisis politik Chandra Muzaffar dan Azmi Hassan.
PETALING JAYA:
Dua penganalisis politik berharap cadangan siri jelajah oleh Pemuda Barisan Nasional (BN) akan berperanan lebih besar daripada hanya satu lagi siri jelajah bagi meraih sokongan politik.

Intelektual terkenal Chandra Muzaffar berkata, siri jelajah itu tidak akan memberi apa-apa manfaat kepada negara sekiranya ia hanyalah usaha bagi mendapatkan sokongan politik untuk gabungan pembangkang.

“Sebagai pengkaji masyarakat dan politik, perkara pertama yang terlintas di fikiran saya, ia usaha bagi mendapatkan sokongan politik. Jika mereka hanya mahukan sokongan, dan sokongan di atas garis kaum pula, maka adalah sesuatu yang sangat mengecewakan,” katanya kepada FMT.

Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki berkata pemimpin pemuda mewakili Umno, MCA dan MIC akan bekerjasama untuk menganjurkan majlis penerangan, perbincangan dan sesi bertemu rakyat di bandar dan kampung bagi “mengendurkan ketegangan kaum”.

Asyraf berkata, langkah sayap Pemuda BN itu juga bertujuan menerapkan “nilai Malaysia sebenar” kerana nilai yang dibawa Pakatan Harapan (PH) menyuburkan prasangka, skeptisisme dan syak wasangka.

Chandra menggesa Pemuda BN supaya berfikir melampaui garis komuniti dan pengaruh mereka sendiri serta tidak mengambil pendirian bersandarkan etnik berhubung isu yang dihadapi.

“Misalnya jika anda mahu memperjuangkan Islam dan mahu menjelaskan pendirian anda mengenainya, saya fikir anda juga perlu peka tentang hak komuniti agama lain.

“Jika anda mahu memberitahu orang ramai bahawa anda memperjuangkan pendidikan Cina, yang mungkin akan dilakukan Pemuda MCA, anda juga perlu melihat pendidikan tersebut dalam konteks sistem pendidikan Malaysia yang lebih luas.

“Saya mahu melihat mereka (Pemuda BN) berfikir melampaui komuniti masing-masing. Berfikir melampaui perjuangan biasa mereka, sama ada ia berkait komuniti tertentu atau anggapan mereka tentang kepentingan komuniti tersebut.

“Saya juga mahu melihat mereka mendekati melampaui komuniti mereka sendiri, Tunjukkan empati dan sikap memahami dan terjemahkannya ke dalam bentuk tindakan yang konkrit,” tambah beliau lagi.

Beliau berkata, Pemuda Umno diketahui pernah membuat kenyataan bersifat perkauman sebelum ini, tetapi itu tidak bermakna mereka tidak boleh berubah.

Jika mereka boleh menunjukkan sikap lebih inklusif dan boleh menerima orang lain, maka mereka perlu digalakkan dan diberi sokongan, kata beliau, tanpa mengira kenyataan dan perbuatan mereka pada sebelum ini.

Dalam pada itu, Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia berharap siri jelajah Pemuda BN kali ini bukanlah satu lagi rancangan sayap pemuda itu mahu mempersalahkan PH.

Beliau berkata, kedua-dua gabungan politik itu mempunyai perspektif masing-masing berhubung ketegangan kaum berlaku sekarang, namun perspektif lebih tepat diperlukan bagi memastikan siri jelajah tersebut akan benar-benar mengendurkan ketegangan.

Azmi juga bercakap tentang kerjasama antara sayap pemuda BN dan PH.

“Jika kedua-dua pihak boleh mempersetujui satu naratif bersama, saya percaya perkara baik boleh berlaku.

“Paling tidak mereka boleh bermula dengan tidak hanya menyalahkan satu sama lain. Hanya dengan demikian orang ramai akan mengambil peduli tentang niat baik kedua-dua pihak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.