Polis: Bom ditemui daripada pengedar dadah untuk aktiviti jenayah

Polis: Bom ditemui daripada pengedar dadah untuk aktiviti jenayah

2 bom tangan dan 689 butir peluru pelbagai jenis yang ditemui dalam stor pili bomba di pangsapuri bertujuan digunakan untuk kegiatan jenayah.

Polis masih belum menemui sebarang kaitan pengedaran dadah oleh geng yang ditahan namun percaya bom dan peluru terbabit digunakan untuk aktiviti jenayah.
KEPALA BATAS:
Polis tidak menolak kemungkinan penemuan dua bom tangan bersama 689 butir peluru pelbagai jenis dalam stor pili bomba di Pangsapuri Sinar, Bukit Dumbar Ahad lalu bertujuan digunakan untuk kegiatan jenayah oleh kumpulan pengedaran dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang, Maidu Abu Bakar berkata siasatan awal pihaknya ketika ini masih belum menemui sebarang kaitan dengan kegiatan pengedaran dadah geng itu namun percaya bom dan peluru terbabit digunakan untuk aktiviti jenayah.

“Kami bekerjasama dengan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri untuk menyiasat berhubung penemuan bom dan peluru itu dan percaya geng tersebut bukan hanya menjalankan kegiatan mengedar dadah tetapi turut terlibat dalam kegiatan jenayah lain,” katanya hari ini.

Katanya selain penahanan seorang lelaki berusia 54 tahun yang merupakan ketua geng itu pada 1 Okt tahun lepas, polis juga menahan tiga lagi lelaki anggota geng tersebut dan percaya kumpulan itu berjaya dilumpuhkan sepenuhnya.

Menurutnya semasa penahanan ketua geng itu polis turut merampas bersamanya 20kg syabu bersama sepucuk pistol sebelum merampas sepucuk lagi pistol milik lelaki terbabit awal tahun ini.

Maidu berkata lelaki itu dipercayai menyembunyikan bom tangan dan peluru dalam stor pili bomba tersebut kerana percaya tempat berkenaan selamat serta polis tidak akan mengesyaki ia disimpan di situ.

“Namun hasil siasatan terperinci, polis berjaya membongkar tempat lelaki itu menyembunyikan dua unit bom tangan dan 689 peluru serta tiga unit kelopak tersebut. Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Serbuan yang dibuat Ahad lepas itu adalah hasil maklumat yang diperoleh daripada seorang tahanan di penjara yang sedang menunggu untuk perbicaraan kerana didakwa di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.