
“Saya akan mohon supaya elaun dapat dinaikkan setimpal dengan titisan peluh dan beban psikologi mereka.
“Saya akan jumpa Menteri Dalam Negeri (Muhyiddin Yassin) rayu kepada beliau kalau dapat naikkan dalam 25% atau 30% atau 34%,” kata beliau di Ipoh hari ini selepas merasmikan sambutan Jubli Emas 69 Komando di Padang Kawad Bridged Utara, Pasukan Gerakan Am, Ulu Kinta.
Dipetik Bernama, Abdul Hamid berkata ketika ini terdapat seramai 661 pegawai serta anggota VAT69 dan mereka menikmati elaun antara RM600 hingga RM900.
Komando VAT69 ditubuhkan pada 23 Okt 1969 dan merupakan pasukan komando kedua dalam negara selepas Grup Gerak Khas Tentera Darat.
Mengulas lanjut, beliau berkata anggota dalam pasukan elit Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu memang cukup terlatih dan memberikan banyak sumbangan kepada negara.
“Selaku IGP (ketua polis negara) saya anggap ini (VAT69) sebagai saya punya insurans. Insurans yang saya simpan, apabila diperlukan dalam keadaan terdesak, inilah yang akan saya gunakan,” katanya.
Abdul Hamid berkata beliau akan memastikan pasukan tersebut dilengkapi dengan peralatan, teknologi dan latihan terkini.