
Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak berkata jika dilihat secara keseluruhannya berasaskan kadar pendapatan dan kekayaan, Melayu masih ketinggalan.
“Lebih 60% keluarga Melayu masih memperoleh pendapatan gaji yang kurang dari RM 2,000 sebulan, sedangkan kos sara hidup terus naik melambung. Apa yang salah?
“Bantuan subsidi dan pemberian geran tahunan hanya di lihat dalam analoginya sebagai gula-gula yang tidak meninggalkan kesan besar kecuali kudis daripada kesan gula dalam penyakit kencing manis,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kesan Belanjawan 2020 kepada kaum Melayu.
Dalam Belanjawan 2020, peruntukan termasuk RM6.6 bilion untuk belanjawan institusi pendidikan Bumiputera seperti Mara, UiTM dan Yayasan Peneraju.
Sementara itu, RM1 billion untuk SKS Bumiputra, RM445 juta untuk Usahawan Bumiputra, Tekun, SMECorp, PUNB, PHB dan Teraju.

Barjoyai berkata kesalahan adalah dalam struktur ekonomi negara sejak sebelum merdeka lagi yang terlampau menekankan kadar pertumbuhan yang pesat
dengan memberikan insentif dan tumpuan kepada kumpulan peniaga.
Katanya, ini mengabaikan kumpulan pekerja, petani dan pekerja sendiri.
“Ini menghasilkan pengagihan pendapatan dan kekayaan yang sangat besar jurangnya. Bolehkah jurang ini di kecilkan atau ditutup?
“Ini memerlukan penstrukturan semula ekonomi supaya ia dilihat lebih adil antara kumpulan pengusaha industri dan perniagaan dengan kumpulan pekerja, petani dan pekerja sendiri,” katanya.
Barjoyai mencadangkan dua strategi yang boleh ditonjolkan dengan mengambil peluang munculnya Revolusi Perindustrian 4.0 yang memerlukan kumpulan pekerja dilatih semula, diberikan kemahiran dan jawatan baru.
Beliau berkata ini kerana 60% jawatan yang ada sekarang akan lenyap.
“Ini sekali gus akan melonjakkan pendapatan semua kaum pekerja di Malaysia,” katanya.
Berniaga ‘online’
Barjoyai juga menggesa isi rumah, khususnya Melayu menceburi perniagaan bermula dengan berniaga dari rumah secara sambilan melalui laman sesawang sebagai usaha untuk melonjak pendapatan tambahan keluarga.
“Kedua-dua strategi di atas ini memberi harapan baru untuk kaum Melayu ditolak ke hadapan bagi melonjakkan pendapatan dan kekayaan mereka di dalam tempoh 10 tahun yang akan datang.
“Namun malangnya tidak ada peruntukan khusus yang diberi untuk dua program penstrukturan ekonomi ini,” katanya.
Barjoyai berkata sekurang-kurangnya RM10 bilion diperlukan untuk usaha melatih, memberikan kemahiran baru dan mewujudkan jawatan baru untuk pekerja di Malaysia yang seramai 40 juta orang.
“Peruntukan lebih RM20 bilion diperlukan untuk membantu kumpulan isi rumah Melayu yang jumlahnya melebihi 7 juta keluarga.
“Ini perlu melibatkan sukarelawan dari kalangan pesara profesional dan pelajar institusi pengajian tinggi,” katanya.
Sementara itu, penganalisis ekonomi, Mohd Yusof Kasim berkata agenda Bumiputera diteruskan tetapi secara keseluruhannya amaun peruntukan secara relatif berkurangan.
Beliau berkata misalnya agensi di Kementerian Pertanian dan Asas Tani.
“Tender kerajaan di setiap kementerian tak kurang daripada 30% tetapi dulu 50%.
“Elaun nelayan dulu (2018) RM300 sekarang (2020) hanya RM250 sebulan,” katanya.
Yusof berkata, manakala pinjaman pelajar Mara kekal RM2 bilion, tetapi kadar pertukaran dengan AS dolar makin teruk,” katanya.