PAS gesa kerajaan pertimbang cukai baru untuk Grab

PAS gesa kerajaan pertimbang cukai baru untuk Grab

Ia salah satu usaha meningkatkan pendapatan kerajaan berikutan Belanjawan 2020 gagal mencadangkan struktur cukai baru yang lebih komprehensif dan adil.

Operasi Grab di Malaysia tidak dikenakan cukai korporat sepertimana syarikat konvensional.
PETALING JAYA:
PAS menggesa kerajaan mempertimbangakan struktur cukai baru merangkumi ekonomi digital berikutan operasi Grab di Malaysia masih tidak dikenakan cukai korporat seperti syarikat konvensional.

Timbalan Pengerusi Lajnah Ekonomi, Hartanah dan Pembangunan Usahawan PAS Pusat, Mazli Noor berkata ia salah satu usaha meningkatkan pendapatan kerajaan berikutan Belanjawan 2020 dilihat gagal mencadangkan struktur cukai baru yang lebih komprehensif dan adil.

“Sebagai contoh rujukan, syarikat perkhidmatan e-hailing kereta terkemuka Grab dianggarkan bernilai AS$10 bilion secara keseluruhan.

“Namun operasi Grab di Malaysia masih tidak dikenakan cukai korporat sepertimana syarikat konvensional.

“Dianggarkan ada seramai 200,000 pemandu e-hailing di Malaysia. Oleh itu ia amat signifikan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mazli berkata berdasarkan kajian pihaknya, perkhidmatan e-hailing kereta hanya dikenakan caj untuk mendapatkan Lesen Perkhidmatan Kenderaan Awam (PSV) iaitu sebanyak RM800 bermula 1 April 2019 lalu.

Beliau berkata tiada cukai lain yang dikenakan kepada aktiviti ekonomi ini.

“Kerajaan seharusnya mempertimbangakan struktur cukai merangkumi ekonomi digital.

“Ini seiring dengan perkembangan dan amalan di negara-negara lain seperti Eropah,” katanya.

Mazli berkata Perancis dan United Kingdom sedang merangka untuk memperkenakan cukai kepada syarikat internet terkemuka seperti Facebook dan Google yang melakukan jualan melalui alam siber.

Mazli berkata PAS juga mencadangkan kerajaan mempertimbangkan untuk memperketatkan cukai untuk aktiviti ekonomi di alam siber.

Beliau berkata struktur cukai itu merangkumi semua aktiviti perniagaan di atas talian seperti iklan atas talian, data elektronik atau perkhidmatan pengantara.

“Semua aktiviti perniagaan ini merupakan ekonomi baru digital yang semakin berkembang namun masih tidak ada struktur cukai yang komprehensif bagi merangkumi sektor ekonomi digital,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.