Rasai kelainan 6 hidangan dari chef terkecil di dunia ‘Le Petit’

Rasai kelainan 6 hidangan dari chef terkecil di dunia ‘Le Petit’

Banyak tempat makan yang menarik namun kelainan ditampilkan Le Petit Chef ikut jelajah pengembara Marco Polo di Element menarik untuk dirasai.

Mereka yang bekerja keras menjayakan Le Petit Chef. Dari kiri Arvin Randahwa, CEO 2Spicy, Chef Steve Ariffin dan Balraj Pannu, CEO Elements KL.

Memang tidak dinafikan banyak tempat makan yang menarik, unik dan pelik di sekitar Lembah Klang, namun anda tetap mencubanya. Mengapa?

Sudah pasti anda ingin merasai pengalaman berbeza walaupun sekali seumur hidup.

Kebiasaannya makanan yang unik ini mempunyai rasa dan kelazatannya tersendiri.

Tetapi apa maknanya merasai makanan yang enak tanpa hidup yang ceria?

Apa kata kali ini anda mencuba di satu lagi tempat makan yang penuh dengan alam pengembaraan dari satu negara ke negara yang lain iaitu di Elements Kuala Lumpur.

Menggunakan konsep makan sambil dihiburkan, chef terkecil di dunia dengan ketinggian 58mm sahaja iaitu Le Petit Chef akan membuatkan anda tertawa dengan celotehnya dan “dibuai” dalam dunia pengembaraannya.

Plot penceritaan menggunakan teknologi yang dipantulkan pada sebuah buku berjudul “story book”.

Bermula dari Perancis, Le Petit Chef akan membawa anda semua ke negara timur tengah iaitu Arab, diikuti dengan India, Himalaya dan China untuk merasai hidangan yang merupakan “signature” bagi negara-negara tersebut.

Tidak seperti sebelum ini, “dining show” kali ini lebih interaktif yang menggabungkan teknologi visual 3D dan set yang bersesuaian dengan tema “kembara Marco Polo”.

Sebelum sesi bermula, anda akan diberi minuman komplimentari, Tropical Colada kemudian dibawa ke sebuah bilik khas yang tersedia dengan 3D projektor disekeliling dan duduk di tempat yang disediakan.

Kemudian anda akan melihat sebuah buku berkulit tebal berwarna coklat yang berjudul “story book”, namun hanya helaian kertas putih sahaja dan tiada langsung isi kandungan di dalamnya.

Keadaan itu akan membuatkan anda menjadi pelik!

Namun sebaik sahaja semua bersedia, “show” dimulakan dengan dikendalikan seorang hos yang akan menerangkan beberapa fakta menarik dalam setiap pengembaraan anda.

Buka buku dan anda akan melihat Le Petit Chef melompat di atas buku tersebut dan menceritakan kisahnya yang mengikuti laluan penjelajahan pengembara terkenal iaitu Marco Polo.

Di sini, anda akan dihiburkan selama 90 minit dengan enam hidangan menu yang berbeza mengikut penjelajahan pengembara lagenda itu.

Menu pembuka selera kepada pelanggan.
Makanan yang dihiasi di atas cengkerang laut sebaik sahaja melihat penceritaan Le Petit Chef hanyut di atas bot.

Sebagai pembuka selera, anda akan dihidangkan “toasted walnut brioche” dan “pacific oyster” yang disaluti dengan krim dan “caviar” yang mempunyai rasa rangup dan manis pada masa yang sama.

Hidangan mewah ini sahaja sudah memberi persepsi pengembaraan 90 minit ini akan dipenuhi dengan keseronokan.

Tapi tunggu dulu, sebelum makan anda “wajib” menyebut Bon Appetit kepada orang di sebelah kiri, kanan dan hadapan anda sambil disambut hilai tawa semua yang hadir.

Menu negara Timur Tengah dipersembahkan dengan cara yang unik dan kelazatan sate kambing terserlah dengan kelembutannya.

Pengembaraan diteruskan ke Timur Tengah dengan hidangan “signature” negara tersebut iaitu sate kambing, itik salai dan kepingan pita yang dimakan bersama “youghurt dip” dan chickpea hummus.

Kelazatan hidangan ini apabila disatukan berikan satu rasa kelainan seolah-olah berada di negara Arab.

Semua hidangan ini diletakkan di tengah-tengah antara anda dan orang hadapan dalam satu bekas berkonsepkan “arabic” yang sangat cantik.

Sajian hidangan masyarakat India penuh dengan rasa rempah ratus.

Beralih ke negara India dimana umum mengetahui “signature” nya keunikan rasa rempah ratus yang sememangnya terkenal bagi kaum itu.

Rasam penuh dengan rasa rempah disertakan pula ikan salmon bersama kuah kari, tidak ketinggalan “Rice Idli” dan kelapa membangkitkan rasa kepedasannya yang tersendiri.

Sebelum ke negara China, anda akan dibawa ke Himalaya terlebih dulu dimana ia akan membuatkan anda lebih teruja apabila meja dipenuhi dengan kepulan asap pada hidangan “Raspberry Sorbet”.

Raspberry Sorbet menepati konsep seolah-olah berada di pergunungan Himalaya.

Ia menjadi simbolik betapa sejuknya berada di puncak tersebut yang dipenuhi dengan asap kabus.

Sebaik sahaja turun dari pergunungan penjelajahan Le Petit Chef diteruskan ke negara China dimana hidangan ayam panggang dan wantan udang akan diberi kepada anda berserta cendawan dan asparagus melengkapi hidangan tersebut.

Sajian hidangan di negara China pasti dilengkapi dengan adanya ayam panggang dan asparagus.

Kelembutan ayam panggang dapat dirasai dalam setiap gigitan ditambah pula dengan udang segar yang dibalut dalam wantan.

Pastikan perut anda masih ada lagi ruang untuk pencuci mulut terakhir iaitu “Tonka crème brulee” dengan kastard manis dan lembut di bawah lapisan gula yang nipis.

Pencuci mulut, ‘Tonka creme brulee’  kesedapan rasa manisnya pasti membuat semua tersenyum ketika menikmatinya.

Kesemua hidangan ini adalah cetusan idea Chef Steve Ariffin yang mempunyai kepakaran dalam masakan Perancis dan Jepun dengan pengalaman selama dua dekad.

Bercakap kepada FMT, Steve berkata beliau menggunakan segala kepakaran yang ada dengan bantuan lima chef yang lain, ditambah pula dengan kecomelan Le Petit Chef, akan membuatkan segala hidangan tersebut lebih kreatif.

Dengan keupayaan seramai 36 orang setiap sesi, tiket hanya boleh dibeli secara online di lepetitchef.asia dengan harga RM299 untuk “Marco Polo’s journey”.

Manakala untuk Marco Polo’s Expedition yang berharga RM499 pula akan mendapat komplimentari segelas air Tropical Colada dan RM999 untuk “Marco Polo’s around the world” pula akan diberi satu kek serta baucar RM100 untuk makan di mana-mana cawangan Elements.

Le Petit Chef beroperasi setiap hari kecuali Isnin dan mempunyai dua sesi setiap hari, iaitu 7 malam dan 9 malam.

Bagi Jumaat dan Sabtu pula, sesi tambahan disediakan pada pukul 5 petang.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.