
Halim yang menawarkan untuk mengambil alih PLUS dengan nilai tertinggi RM5.2 bilion tunai, berkata sudah sampai masa kerajaan menyerahkan operasi perkhidmatan awam kepada syarikat swasta.
Beliau yang terlibat dalam operasi lebuh raya melalui Renong Berhad sebelum diambil alih kerajaan pada 2001 berkata, tiada sebarang penurunan dalam kadar tol sejak itu, sebaliknya hanya jumlah hutang melonjak kepada RM30.2 bilion setakat 2019.
“Sejak pengambilalihan itu, hutang meningkat hampir 10 kali ganda harga tender iaitu RM3.4 bilion yang ditetapkan pada 1988. Hanya RM700 juta (hutang) dibayar. Jadi di manakah tunai daripada pendapatan tahunan dibelanjakan?,” kata beliau dipetik BH Online hari ini.
Harga tender RM3.4 bilion bagi konsesi tol selama 30 tahun dianugerahkan kerajaan kepada UEM Group Bhd dan PLUS pada 1988, kata laporan itu.
Halim dipetik berkata ketika beliau meninggalkan operasi PLUS sembilan tahun lalu, jumlah pinjaman hanya berada pada RM6 bilion, lima kali ganda lebih rendah berbanding hutang semasa pengendali lebih raya itu.
Bersama dengan rakan niaga, Wong Gian Kui, Halim dilaporkan merancang untuk mengambil alih keseluruhan kepentingan dalam PLUS dengan nilai RM5.2 bilion.
Selain menawarkan penurunan kadar tol lebih 25%, beliau menegaskan, di bawah cadangannya, jangkaan pulangan kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak akan dicairkan jika pengendali dana pencen itu mahu mengekalkan pegangan 49% dalam PLUS.
Minggu lalu, Halim Saad dilaporkan telah menawarkan untuk membeli keseluruhan pegangan Khazanah Nasional Bhd dalam PLUS Malaysia pada harga RM5.2 bilion, sekali gus memperlihatkan kembalinya beliau ke sektor operasi lebuh raya.
Bekas pengerusi Renong Bhd, yang pernah menguasai UEM Group Bhd, telah mengemukakan cadangan itu pada 11 Okt lalu.
Dengan langkah Halim itu, persaingan untuk mengambil alih PLUS Malaysia bertambah kepada tiga pihak dari dalam negara, dan satu syarikat asing.
Pada 10 Okt lalu. Maju Holdings Sdn Bhd dilaporkan memperbaharui cadangannya mengambil alih PLUS Malaysia Bhd dengan menawarkan pengurangan tol daripada 25% kepada 36%.
Pada 5 Okt lalu, pemegang saham utama PLUS Malaysia, Khazanah Nasional Bhd menegaskan tidak berminat untuk menjual aset strategik itu kepada mana-mana pihak.
Selain RRJ Capital Ltd, Halim dan Maju Holdings turut menunjukkan minat adalah Widad Business Group (WBG).