
“Mungkin Najib Razak baru belajar jadi pembangkang, jadi mungkin dia rasa bersemangat memperjuangkan isu rakyat, tetapi apa kami lakukan, bukan sahaja musim pilihan raya, kita bekerja terus membantu rakyat.
“Kalau nelayan jatuh jeti runtuh macam mana. Peruntukan sudah sampai maka saya kena umumkan. Takkanlah hendak tunggu, saya tidak alergi atau takut hendak umumkan peruntukan bila berlakunya pilihan raya,” katanya sewaktu ditemui pemberita di Parlimen, hari ini.
Sebelum ini, Najib berkata kerajaan pusat setakat ini sudah mengumumkan projek bernilai RM7.3 juta dalam masa kurang seminggu menjelang PRK Tanjung Piai, pada bulan depan.
Bekas perdana menteri itu menyenaraikan tiga pengumuman projek yang dibuat pemimpin PH, sejak 15 Oktober lalu, yang dilihat akan memberi manfaat kepada penduduk Tanjung Piai.
Ia termasuk pemasangan 264 lampu jalan di jajaran jalan raya luar bandar Tanjung Piai dengan kos RM127,776, dan geran bernilai RM230,000 untuk ketua kampung seperti diumumkan Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Harun.
Beliau turut merujuk Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mengumumkan peruntukan RM4 juta untuk menaik taraf kemudahan sukan dan rekreasi di Tanjung Piai, serta peruntukan menaik taraf tiga jeti nelayan di kawasan itu.
Salahuddin berkata, sebagai menteri beliau berhak membuat sebarang pengumuman berdasarkan peruntukan diberikan kerajaan kepada kementeriannya, asalkan ia dapat membantu dan menggembirakan rakyat.
“Saya dilahirkan di Tanjung Piai, itu adalah kampung saya. Setiap minggu selepas balik dari Pulai, saya akan tidur di rumah saya. Setiap pagi kadang-kadang rakyat jumpa saya nyatakan isu dan masalah mereka.
“Saya cuba penuhi, antaranya melibatkan jeti nelayan uzur dan masih tidak dibangunkan. Saya akan lakukan sepanjang masa (umumkan peruntukan), saya tidak tunggu waktu tertentu,” katanya
Tambahnya, beliau sendiri sentiasa berbincang dengan penyandang Ahli Parlimen Tanjung Piai Md Farid Md Rafik mengenai masalah yang dihadapi rakyat di kawasan berkenaan.