Jualan naik 36% selepas lancar Proton X70, kata timbalan menteri

Jualan naik 36% selepas lancar Proton X70, kata timbalan menteri

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ong Kian Ming berkata, peningkatan jualan Proton turut didorong pembaharuan model sedia ada seperti Saga, Exora, Iriz dan Persona.

Proton X70 ialah SUV pertama syarikat automotif negara yang dilancarkan pada 12 Dis 2018.
PETALING JAYA:
Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton) mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 36% selepas pelancaran Proton X70 dengan 61,235 unit dijual setakat Ogos lalu, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ong Kian Ming.

Katanya, peningkatan itu turut didorong pembaharuan model sedia ada seperti Saga, Exora, Iriz dan Persona sejak awal tahun ini.

Beliau berkata, statistik prestasi jualan dan pengeluaran Persatuan Automotif Malaysia menunjukkan Proton di tempat kedua jualan tertinggi bagi segmen kenderaan penumpang.

“Saya sendiri sudah memiliki Proton X70 sebagai tanda sokongan kepada Proton,” kata beliau di Dewan rakyat hari ini menjawab pertanyaan Alexander Nanta Linggi (GPS-Kapit) berhubung jualan Proton dari Jun 2018 hingga Ogos 2019.

Proton X70 yang merupakan kenderaan utiliti sukan (SUV) pertama syarikat itu, diperkenalkan hujung tahun lalu, menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan kukuh Proton dengan 13,572 unit diserahkan kepada pelanggan dalam lima bulan pertama tahun ini.

Preve, Persona model eksport paling laris

Ditanya nilai eksport Proton, Ong berkata, sehingga Ogos lalu, syarikat automotif negara itu mengeksport sebanyak 1,635 unit kenderaan bernilai RM5.5 juta ke lebih lima negara, dengan model paling laris ialah Preve dan Persona.

“Unit-unit tersebut dieksport ke Brunei, Pakistan, Mauritius, Jordan, Iraq, Zimbabwe dan Mesir.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.