China kini negara paling ramai jutawan, atasi rekod AS

China kini negara paling ramai jutawan, atasi rekod AS

Tinjauan kekayaan tahunan bank Switzerland dikeluarkan hari ini mendapati 100 juta rakyat China menduduki 10% ranking global pada pertengahan tahun ini berbanding 99 juta orang di AS.

Walaupun ketegangan perdagangan antara AS dan China berlarutan, kedua-dua negara menonjol dalam mencipta kekayaan.
ZURICH:
Bilangan jutawan China kini mengatasi Amerika Syarikat (AS), buat kali pertama ketika kedua-dua negara terus bersaing melahirkan rakyat paling kaya, demikian menurut hasil kajian Credit Suisse.

Tinjauan kekayaan tahunan bank Switzerland dikeluarkan hari ini mendapati 100 juta rakyat China menduduki 10% ranking global pada pertengahan tahun ini berbanding 99 juta orang di AS.

“Walaupun ketegangan perdagangan antara AS dan China berlarutan sejak 12 bulan lalu, kedua-dua negara telah menonjol dalam mencipta kekayaan, masing-masing menyumbang AS$3.8 trilion (RM15.89 trilion) dan AS$1.9 trilion (RM7.95 trilion),” kata Nannette Hechler-Fayd’herbe, ketua ekonomi global dan penyelidikan di Credit Suisse.

Jajaran jutawan dunia meningkat 1.1 juta kepada kira-kira 46.8 juta orang, secara kolektif memiliki aset bersih AS$158.3 trilion (RM662 trilion), 44% daripada jumlah global, kata hasil kajian itu.

AS menambah lebih separuh daripada jumlah ini – 675,000 jutawan baru.

Penurunan kekayaan purata di Australia – sebahagian besarnya disebabkan oleh kadar pertukaran – menyebabkan kehilangan 124,000 jutawan, manakala Britain kehilangan 27,000 orang dan Turki (24,000).

Laporan itu menganggarkan 55,920 orang dewasa bernilai sekurang-kurangnya AS$100 juta (RM400 juta) dan 4,830 mempunyai aset bersih melebihi AS$500 juta (RM2 bilion).

Ia meramalkan kekayaan global, yang meningkat 2.6% sepanjang tahun lalu akan meningkat sebanyak 27% dalam tempoh lima tahun akan datang kepada AS$459 trilion (RM1,919.7 trilion) menjelang 2024. Bilangan jutawan juga akan berkembang dalam tempoh ini kepada hampir 63 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.