Ringgit dijangka catat dagangan berhati-hati minggu depan

Ringgit dijangka catat dagangan berhati-hati minggu depan

Ketegangan dagangan AS-China terus menjejaskan ekonomi global, manakala cukai tambahan AS dan EU akan memburukkan lagi keadaan.

Kebimbangan berlakunya kemelesetan ekonomi serta petunjuk kelembapan ekonomi menyamai petanda krisis kewangan sedekad lepas, akan menyebabkan ringgit memerlukan pemangkin kukuh di peringkat tempatan bagi meningkatkan momentum alirannya.
KUALA LUMPUR:
Ringgit dijangka menyaksikan dagangan lebih berhati-hati minggu depan berikutan ketidaktentuan berterusan membabitkan ekonomi uama dunia.

Seorang penganalisis berkata, ketegangan dagangan Amerika Syarikat (AS) dan China terus menjejaskan ekonomi global, manakala cukai tambahan AS dan Kesatuan Eropah (EU) akan memburukkan lagi keadaan tersebut.

“Ketidakpastian yang berlanjutan ini akan hanya menjejaskan pertumbuhan ekonomi dunia sebagaimana yang dinyatakan oleh laporan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF),” katanya.

Beliau berkata, kebimbangan berlakunya kemelesetan ekonomi serta petunjuk kelembapan ekonomi menyamai petanda krisis kewangan sedekad lepas, akan menyebabkan ringgit memerlukan pemangkin kukuh di peringkat tempatan untuk meningkatkan momentum alirannya.

IMF baru-baru ini bertindak menyemak turun unjuran pertumbuhan global tahun ini kepada sekitar 3.0 peratus, manakala ketegangan perdagangan AS-China akan mengurangkan paras Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global sebanyak 0.8 peratus menjelang 2020.

“Apabila pertumbuhan global menjadi perlahan, harga minyak akan turut terjejas kerana permintaannya berkurangan dan menyebabkan penyusutan harga yang berlaku secara harian setakat ini,” katanya.

Harga minyak mentah Brent yang juga penanda aras global mencecah AS$59.87 setong, iaitu penurunan sebanyak 0.07 peratus pada Jumaat berikutan pengeluaran minyak lebih perlahan susulan ketidaktentuan geopolitik.

Dalam pada itu, Hong Leong Bank Research berkata, berdasarkan perbandingan minggu ke minggu, ringgit mencecah paras rendah pada 4.1962 yang dikaitkan dengan data ekonomi lebih lemah selain jangkaan bahawa pihak Rizab Persekutuan AS akan menurunkan lagi kadar faedah.

“Ringgit telah memanfaatkan kelemahan dolar AS untuk mengukuh berbanding minggu lepas. Namun, ringgit memerlukan lebih banyak pemangkin untuk memacunya melepasi tahap teknikal jangka pendek.

“Berikutan ketiadaan sebarang rangsangan tempatan, kita menjangkakan faktor luaran untuk mempengaruhi ringgit berbanding dolar AS. Kami menjangkakan ringgit mencecah sekitar paras 4.1650-4.2050 pada minggu depan,” katanya.

Ketika mengakhiri dagangan minggu ini, ringgit rendah sedikit berbanding dolar AS iaitu pada 4.1850/1880 berbanding 4.1840/1870, minggu lepas.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama lainnya.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0644/0670 daripada 3.0438/0471, rendah berbanding euro kepada 4.6571/6621 daripada 4.6103/6153 dan turun berbanding pound Britain kepada 5.3999/4042 daripada 5.2292/2346 pada Jumaat lepas.

Bagaimanapun berbanding yen, ringgit meningkat kepada 3.8518/8553 daripada 3.8691/8729, sebelum ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.