PM gesa usahawan luar bandar rebut peluang, naik taraf ekonomi

PM gesa usahawan luar bandar rebut peluang, naik taraf ekonomi

Mahathir Mohamad berkata karnival usahawan menawarkan peluang untuk orang kampung melalui pelbagai cara.

Perdana menteri berkata mahu masyarakat luar bandar naik taraf industri mereka menggunakan mesin.
PUTRAJAYA:
Masyarakat luar bandar digesa agar merebut peluang yang ada untuk menaik taraf ekonomi bagi memastikan mereka tidak ketinggalan jauh berbanding penduduk di bandar malah setanding dengan mereka, kata Dr Mahathir Mohamad.

Perdana menteri berkata, melalui penganjuran Karnival Usahawan Desa (KUD) 2019, para usahawan mempunyai banyak peluang untuk meningkatkan prestasi perusahaan mereka.

“Di KUD ada peluang untuk dapat buat banyak duit melalui pelbagai cara yang ditunjukkan di sini.

“Saya harap semua akan berusaha kerana hasrat kerajaan ialah supaya orang di kampung juga dapat sama (taraf ekonomi) dengan orang di bandar,” katanya kepada media selepas melakukan walkabout di KUD 2019 hari ini.

Sepanjang walkabout tersebut beliau diiringi Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Mohd Harun.

Mahathir berkata pelbagai barangan terdapat di KUD termasuk mesin-mesin yang boleh membantu usahawan untuk meningkat jumlah pengeluaran produk mereka.

“Masyarakat luar bandar perlu menaik taraf industri mereka menggunakan mesin, di KUD mesin-mesin yang dijual juga tidak berapa mahal,” katanya.

Sepanjang walkabout selama 90 minit itu, Mahathir turut mengambil peluang meninjau mesin membuat karipap dan kuih kapit keluaran syarikat tempatan.

KUD 2019 diadakan selama lima hari bermula 17 Oktober bertempat di Perkarangan Istana Kehakiman, Presint 3, Putrajaya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.