Piala Malaysia: JDT menang 2-1, Kedah dan Pahang seri

Piala Malaysia: JDT menang 2-1, Kedah dan Pahang seri

JDT tewaskan Selangor 2-1 pada pusingan pertama semi-final.

Pemain Selangor Syazwan Zainon diasak oleh pemain JDT Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham pada Perlawanan Separuh Akhir Pertama Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pasukan Johor JDT menang 2-1 menewaskan Selangor pada pusingan pertama perlawanan semi-final Piala Malaysia 2019 di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos Stadium malam tadi.

Sementara itu, di Stadium Darul Aman, Kedah dan Pahang terikat 3-3.

Bernama melaporkan. kemenangan itu bukan satu bekalan selesa buat anak buah Ketua Jurulatih Benjamin Mora untuk dibawa ke Stadium Shah Alam bagi aksi kedua Sabtu depan, apabila Selangor sebelum ini bangkit menewaskan juara bertahan, Perak 3-2 pada aksi suku akhir, bulan lepas.

Namun, pada aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin itu, JDT yang mencipta rekod tersendiri merangkul gelaran juara Liga Super buat kali keenam berturut-turut menampilkan persembahan berkualiti dengan kekemasan permainan dan disiplin bertahan yang tinggi.

Skuad Harimau Selatan membuka tirai jaringan seawal minit ke-14 menerusi penyerang sensasi negara, Muhammad Syafiq Ahmad pada minit ke-14 yang bijak melepasi perangkap ofsaid untuk menewaskan penjaga gol Selangor, Khairulazhan Khalid.

Kegembiraan pasukan tuan rumah hanya bertahan tiga minit apabila penyerang berbisa skuad Gergasi Merah, Ifedayo Olusegun menyamakan kedudukan pada minit ke-17 sekali gus meniupkan semangat pasukan pelawat, namun kedudukan kekal 1-1 sehingga rehat.

Gol kemenangan JDT disumbangkan pemain import, Leandro Velazquez selepas bekas pemain remaja kebangsaan Argentina itu meledak gol memukau dari luar kotak penalti pada minit ke-49 sekali gus melengkapkan kemenangan pasukan.

Pada masa sama, juara Piala FA 2019, Kedah menarik nafas lega apabila berjaya mengikat juara Pahang 3-3 dalam perlawanan penuh dramatik di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Pemain gantian, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak muncul wira pasukan Lang Merah apabila menjaringkan gol penyamaan pada penghujung babak kedua perlawanan selepas keputusan 3-2 dilihat seakan memihak Pahang.

Skuad Tok Gajah di bawah bimbingan Ketua Jurulatih Dollah Salleh bermula garang dengan mendahului 2-0 seawal 30 minit pertama hasil jaringan Wan Zaharulnizam Zakaria pada minit ke-13 sebelum Dickson Nwakaeme menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-26.

Tersentak ketinggalan 0-2 di laman sendiri, Kedah bangkit menyamakan kedudukan hasil dua jaringan penyerang import dari Sepanyol, Fernando Rodriguez pada minit ke-32 dan minit ke-39, namun Pahang kembali mendahului pada minit ke-73 menerusi Muhamad Nor Azam Abdul Azih.

Aksi kedua separuh akhir Piala Malaysia yang dijadual berlangsung pada Sabtu depan menyaksikan Kedah bertandang ke Stadium Darul Makmur, Kuantan sementara Selangor melayani kunjungan JDT di Stadium Shah Alam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.