
Menteri Keselamatan Alfonso Durazo berkata peronda polis National Guard mula diserang dari sebuah rumah di bandar Culiacan, 1,235km di barat laut Mexico City.
Selepas memasuki rumah itu, mereka temui empat lelaki, termasuk Ovidio Guzman, yang dituduh mengedar dadah di Amerika Syarikat.
Peronda bagaimanapun diatasi oleh militan kartel dadah, dan perlu berundur bagi mengelakkan kehilangan nyawa, kata kerajaan.
Dalam masa sama, militan menyerbu bandar itu, bertempur dengan polis dan askar di siang hari. Mereka membakar kenderaan dan menyebabkan sekurang-kurangnya sebuah stesen gas terbakar.
“Keputusan dibuat untuk berundur dari rumah itu, tanpa Guzman, bagi mengelakkan keganasan di kawasan itu dan memelihara nyawa anggota kami dan menenangkan kembali bandar itu,” kata Durazo kepada Reuters.
Reaksi kepada penangkapan Ovidio itu berlaku pada skala yang jarang dilihat dalam perang dadah Mexico yang sudah lama berlarutan, walaupun ketika bapanya yang lebih terkenal ditangkap.
Huru-hara berterusan hingga ke waktu malam.
Sekumpulan besar banduan melepaskan diri dari penjara. Penduduk mencari perlindungan di pusat membeli-belah dan pasaraya ketika tembakan berlaku. Asap hitam berkepul-kepul di serata bandar.
Keluarga dengan anak-anak kecil keluar dari kenderaan dan meniarap di jalan raya. Peluru bersimpang-siur berdekatan mereka. “Ayah, kita dah boleh bangun?” kata seorang anak kecil kepada bapanya dalam video yang dikongsi di Twitter.
“Jangan, terus baring,” jawab bapanya, dengan suara terketar-ketar.
Cristobal Castaneda, ketua keselamatan di negeri Sinaloa memberita media Televisa bahawa dua orang terbunuh dan 21 tercedera, menurut maklumat awal.
Katanya, polis diserang apabila mereka mendekati sekatan jalan yang dijaga militan. Beliau menasihatkan penduduk jangan keluar rumah.
Belum dipastikan adakah anggota peronda tercedera atau terbunuh dalam pertempuran itu. TV Reuters menyiarkan kejadian di mana sekurang-kurangnya tiga mayat di tepi kereta di jalan raya.
Tindakan balas
Huru-hara di Culiacan, kubu kuat kartel Sinaloa yang diketua keluarga Guzman, akan memberi tekanan pada Presiden Andres Manuel Lopez Obrador, yang mengangkat sumpah pada Disember untuk mengamankan negaranya yang letih dengan perang dadah yang berlarutan lebih sedekad. Pembunuhan tahun ini dijangka mencecah rekod tertinggi.
Kejadian pada Khamis lepas itu menyusuli pembunuhan belasan polis di barat Mexico awal minggu ini, dan pembunuhan 14 orang yang disyaki ahli kumpulan samseng oleh tentera keesokannya.
Falko Ernst, penganalisis kanan International Crisis Group di Mexico berkata, pembebasan Ovidio itu menetapkan “duluan yang berbahaya” dan menghantar satu mesej bahawa kerajaan, termausk tentera, boleh diperas ugut dan tidak mengawal keadaan.
Satu video memaparkan beberapa individu yang barangkali ahli kartel memintas frekuensi radio yang digunakan pasukan keselamatan, memberi amaran tindakan balas terhadap askar-askar jika Ovidio tidak dibebaskan.
Jurucakap polis negeri mengesahkan beberapa banduan terlepas dari penjara dalam huru-hara itu.
Video memaparkan sekurang-kurangnya sekumpulan 20 banduan berlari di jalan raya. Belum dapat dipastikan berapa ramai terlepas.
“Mereka lepaskan banduan-banduan itu,” kata seorang perempuan dalam video yang dirakam dari sebuah bangunan tinggi. “Kami tak boleh keluar!” katanya ketika beberapa suara bercakap mengenai berlari ke kereta masing-masing.
Dalam video lain, seorang lelaki berkali-kali menjerit: “Ada pertempuran besar,” sebelum membelok dan meninggalkan keretanya di sebuah stesen gas untuk mencari perlindungan. Suaranya tidak lagi kedengaran kerana deruan tembakan senjata automatik.
Joaquin mengetuai kartel Sinaloa selama berdekad, pernah dua kali melepaskan diri dari penjara sebelum ditangkap dan dihantar ke Amerika Syarikat. Dia didapati bersalah oleh mahkamah AS pada Februari kerana menyeludup bertan-tan dadah dan dihukum penjara seumur hidup.
Dia dipercayai mempunyai seramai 12 anak termasuk Ovidio. Jabatan Kehakiman AS mendedahkan pendakwaan terhadap Ovidio dan seorang lagi daripada adik-beradik itu pada Februari, mendakwa mereka dengan konspirasi untuk mengedar kokain, methamphetamine, dan marijuana di AS.
Pendakwaan menyatakan usia Ovidio pada 28, mengatakan dia terlibat dalam konspirasi pengedaran sejak remaja.
Jose Luis Gonzalez Meza, peguam keluarga Guzman, memberi media Milenio bahawa Ovidio berhubung dengan keluarganya dan dia bebas.