
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan berkata proses semakan, kemas kini dan meluluskan kursus tidak seharusnya mengambil masa sehingga lima tahun.
“Kita (majikan) faham untuk ubah atau perkenalkan kursus baharu sukar dan memakan masa. Cabarannya, jangka masa untuk satu-satu kursus itu semakin pendek.
“Misalnya, pada peringkat cadangan kursus itu, ia memang relevan tapi akibat mengambil masa lama untuk lulus, jadi tidak relevan bila diluluskan.
“Di sini, ada keperluan untuk MQA melihat (kaji) cara mereka sendiri dalam meluluskan kursus-kursus yang terkini. Jangan ambil masa lama,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendedahan Menteri Pendidikan Maszlee Malik menerusi data Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) Tahun 2018 kementeriannya yang mendapati hampir 60 peratus siswazah, peringkat pengajian ijazah pertama dan ke atas, masih menganggur selepas setahun menamatkan pengajian.
Mengulas lanjut, Shamsuddin berkata situasi itu mungkin menyebabkan graduan ketinggalan, berpengetahuan lapuk dan tiada kemahiran relevan seperti yang diperlukan oleh industri sekali gus menyumbangkan kepada peningkatan kadar pengangguran.
Selain itu, sebagai bakal pekerja, graduan hendaklah berani keluar daripada zon selesa, fleksibel dan sedia menerima skop pekerjaan luar kursus kerana majikan lebih memerlukan calon yang berkemahiran dan mampu untuk melakukan pelbagai kerja dalam berdepan senario Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), katanya.
“Graduan tidak boleh bersikap memilih pekerjaan di peringkat awal, sebaliknya mencabar diri menimba pengalaman, meningkatkan kemahiran meskipun skop kerja itu di luar dari bidang atau kursus mereka. Ini membantu graduan memasarkan diri,” katanya.