Malaysia jalin kerjasama dengan Turki hasil kenderaan perisai

Malaysia jalin kerjasama dengan Turki hasil kenderaan perisai

Menteri pertahanan berkata, Turki antara negara dipilih Malaysia berdasarkan kemampuan teknologi ketenteraannya yang setanding negara maju lain.

Kenderaan perisai lapan roda yang juga dikenali sebagai AV8. (Gambar panggilanpertiwi.my)
KUALA LUMPUR:
Malaysia sedang bekerjasama dengan Turki untuk menghasilkan kenderaan perisai lapan roda (AV8) bagi kegunaan tentera negara, kata Mohamad Sabu.

Menteri pertahanan berkata, Turki antara negara dipilih Malaysia berdasarkan kemampuan teknologi ketenteraannya yang setanding negara maju lain.

“Saya dan perdana menteri melawat Turki, antaranya (pusat) aeroangkasa mereka yang kita lihat setanding negara maju lain… Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) memainkan peranan untuk kerjasama dengan Turki,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) yang ingin tahu sejauh mana kerjasama Malaysia dengan negara lain untuk mempertingkatkan kecanggihan peralatan dan senjata Angkatan Tentera Malaysia, termasuk Turki.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu mengakui pembangunan industri pertahanan tempatan di tahap lemah dari segi menghasilkan peralatan persenjataan.

“Secara umumnya, kemampuan industri persenjataan negara masih terhad kepada pemasangan dan penghasilan sebahagian komponen senjata rifel yang dibekalkan kepada ATM, dengan rekaan milik syarikat persenjataan antarabangsa.

“Ini dilihat berpunca daripada keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) syarikat yang terhad dan sedang berkembang.

“Jumlah permintaan yang tidak mencapai ‘Return of Investment (ROI)’ dan kegagalan syarikat tempatan untuk meyakinkan negara luar membeli senjata buatan Malaysia juga menjadikan skop pasaran industri persenjataan negara kecil, sekaligus menyukarkan syarikat melakukan pelaburan bagi meningkatkan fasiliti dan kepakaran bagi menghasilkan senjata.”

Katanya, Kementerian Pertahanan sedang menjalankan Program R&D menerusi usaha sama strategik antara STRIDE, Universiti Pertahanan Awam dan ATM bagi membangunkan senjata untuk kegunaan ATM.

“Projek yang sedang berjalan adalah projek pembangunan senjata mortar 120mm. Prototaip daripada projek R&D ini akan diberikan kepada ATM dan agensi keselamatan terpilih untuk digunakan bagi penilaian kualiti dan prestasi.

“Setelah menepati piawaian serta kehendak pengguna, prototaip ini akan ditawarkan kepada syarikat pertahanan terpilih bagi tujuan penghasilan dan pemasaran.

“Kementerian Pertahanan akan terus berusaha untuk mencari inisatif relevan bagi meningkatkan keupayaan pemain industri pertahanan negara dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada industri antarabangsa.”

Katanya, Malaysia juga sedang menjalankan kajian bersama negara lain untuk menjadikan dron sebagai teknologi ketenteraan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.