Gesaan Bersatu dekati Umno cetus soal perpaduan dalam PN, kata penganalisis

Gesaan Bersatu dekati Umno cetus soal perpaduan dalam PN, kata penganalisis

Hisomuddin Bakar dari Ilham Centre berkata cadangan Razali Idris mencerminkan kegelisahan dalaman dalam Perikatan Nasional.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Razali Idris menggesa Presiden parti Muhyiddin Yassin dan Presiden Umno Zahid Hamidi untuk bertemu dan membincangkan kemungkinan kerjasama menjelang PRU16.
PETALING JAYA:
Gesaan seorang pemimpin Bersatu supaya partinya meneroka kerjasama dengan Umno mencerminkan perpecahan yang semakin mendalam dalam Perikatan Nasional (PN), dengan ketegangan antara PAS dan Bersatu semakin ketara, kata penganalisis.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar, berkata cadangan tersebut kelihatan bukan penyesuaian strategi, tetapi reaksi terhadap tekanan yang meningkat dalam gabungan pembangkang.

Beliau berkata langkah itu juga bercanggah dengan kenyataan sebelum ini bahawa PAS sepatutnya menerajui PN.

“Jika PAS memang dimaksudkan untuk memimpin PN, maka keutamaan seharusnya diberikan kepada pengukuhan kesepakatan dalaman terlebih dahulu, bukannya memperkenalkan naratif baharu yang melibatkan parti luar seperti Umno,” katanya kepada FMT sambil menambah, mesej bercampur itu menunjukkan ‘ketiadaan hala tuju politik yang jelas’.

Walaupun langkah itu boleh ditafsirkan sebagai isyarat kepada PAS bahawa Bersatu masih mempunyai pilihan lain, penganalisis politik Azmi Hassan dari Akademi Nusantara memberi amaran bahawa tindakan tersebut adalah terlalu awal dan berpotensi memakan diri.

Beliau berkata Bersatu dan Umno merupakan pesaing langsung di banyak kerusi majoriti Melayu, sekali gus menjadikan kerjasama sukar dilaksanakan.

Malah, kata Azmi, walaupun kerjasama itu terbentuk, ia tidak banyak menjejaskan kekuatan PAS di Kelantan, Terengganu, Kedah atau Perlis.

“Pada akhirnya, cubaan menekan PAS dengan mengemukakan Umno sebagai sekutu alternatif adalah satu langkah yang lemah. PAS tahu ia hanyalah ancaman kosong. Sebaliknya, ia boleh memberi Umno kelebihan untuk menentukan syarat (terhadap Bersatu),” tambahnya.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Razali Idris baru-baru ini menggesa Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Presiden Umno Zahid Hamidi mengadakan pertemuan secara bersemuka bagi membincangkan kemungkinan kerjasama menjelang PRU16.

Adun Kijal itu berkata kerjasama sedemikian bukanlah mustahil, dengan merujuk kepada kerjasama Bersatu dan Umno sebelum ini di bawah pentadbiran Ismail Sabri Yaakob.

Apabila ditanya baru-baru ini, Zahid tidak menolak kemungkinan kerjasama tersebut, namun berkata Umno akan mengambil pendekatan tunggu dan lihat terhadap perkembangan melibatkan Bersatu dan PN.

Umno perlu rebut peluang

Pensyarah Universiti Malaya, Awang Azman Pawi, berkata ketidaktentuan semasa dalam PN membuka peluang kepada Umno untuk bertindak lebih tegas dan menegaskan semula kepimpinannya dalam politik Melayu.

“Umno perlu merebut peluang ini dalam perhimpunan agung tahunannya yang sedang berlangsung untuk melancarkan ‘Muafakat Perpaduan’ versi sendiri,” katanya yang menambah, PAS dan Bersatu tidak lagi mampu bekerjasama secara berkesan.

Beliau berkata Umno juga wajar mempertimbangkan untuk menawarkan keahlian kepada parti politik lain yang sanggup menerima syaratnya sebagai usaha mengembalikan kestabilan politik Melayu.

“Bersatu dan PAS kini cuba mendekati Umno kerana kedua-duanya sedar masa depan PN semakin suram,” kata Awang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.