Pengurusan baru Utusan digesa utamakan 5 perkara termasuk pekerja lama

Pengurusan baru Utusan digesa utamakan 5 perkara termasuk pekerja lama

Kelab Veteran Utusan Melayu Malaysia meminta pengurusan baru mengambil alih lesen penerbitan akhbar milik Utusan Melayu mengutamakan bekas kakitangan syarikat itu sekiranya mahu memulakan penerbitan baru.

UHY Advisory, syarikat pelikuidasi interim dilantik, digesa membenarkan peguam bagi pihak NUJ Cawangan Utusan Melayu dan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Akhbar memantau penjualan aset untuk tujuan membayar hutang.
KUALA LUMPUR:
Kelab Veteran Utusan Melayu Malaysia (KVUM) hari ini menggesa pengurusan baru Utusan Melayu (M) Bhd, Aurora Mulia Sdn Bhd memberi tumpuan terhadap lima perkara bagi memastikan kebajikan 862 petugas terbela selepas pemberhentian operasi syarikat itu pada 9 Okt lepas.

Presiden KVUM, Khalid Yunus berkata, soal gaji serta pampasan dan bayaran tertunggak Skim Pemisahan Sukarela (VSS), di samping faedah perkhidmatan seperti tuntutan perjalanan dan perubatan termasuk bayaran ganjaran gratuiti yang tidak dibayar sejak tahun lepas, perlu diberikan keutamaan pengurusan baru itu.

Selain itu, katanya, mereka meminta pengurusan baru yang mengambil alih lesen penerbitan akhbar milik Utusan Melayu itu mengutamakan bekas kakitangan akhbar itu sekiranya mahu memulakan penerbitan baru.

Beliau berkata mereka turut meminta UHY Advisory (KL) Sdn Bhd, syarikat pelikuidasi interim yang dilantik, membenarkan peguam bagi pihak Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Cawangan Utusan Melayu dan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Akhbar (KKPA) cawangan Utusan memantau penjualan aset untuk tujuan membayar hutang.

“Ini bagi mengelak sebarang penyelewengan,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Khalid berkata KVUM turut menggesa Kementerian Sumber Manusia meneliti sama ada tindakan pemberhentian operasi dilakukan syarikat sebelum ini mengikut lunas-lunas peruntukan Akta Kerja 1955 atau sebarang akta berkaitan sedia ada, kerana bimbang syarikat lain akan melakukan perkara sama bagi menyelesaikan masalah hutang syarikat.

Minggu lepas, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan Melayu, Abd Aziz Sheikh Fadzir mengeluarkan memorandum pekeliling mengenai pemberhentian operasi syarikat itu berkuat kuasa 9 Okt manakala tarikh akhir perkhidmatan pada 31 Okt ini.

NUJ Cawangan Utusan Melayu pula dilapor berkata bangunan ibu pejabat Utusan Melayu yang menerbitkan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! di Chan Sow Lin disita dan tidak boleh lagi beroperasi manakala pihak pelikuidasi memberi masa dua hari untuk mengemas keperluan dan kakitangan dicutikan sehingga 30 Okt.

Pihak pengurusan bersetuju untuk membayar tunggakan gaji bagi bulan Sept dan Okt selepas kali terakhir membayar tunggakan gaji bagi bulan Julai dan Ogos pada 4 Okt lepas, manakala taklimat kakitangan bersama pelikuidasi akan diadakan pada 30 Okt ini.

Sementara itu, bekas ketua pengarang Kumpulan Utusan, Johan Jaafar berpendapat keputusan untuk memberhentikan operasi bukanlah penyelesaian terbaik.

“Orang yang mengambil alih Utusan sudah tentu tahu keadaan industri akhbar ketika ini, mereka mempunyai pengetahuan dalam bidang korporat serta terbabit dengan soal pembelian syarikat dan menjadikan sesebuah syarikat yang tidak menguntungkan kepada yang menguntungkan.

“Kenapa tidak gunakan model yang sama. Sekiranya anda mahu menyelamatkan jenama, maka selamatkan juga syarikat itu. Kami tidak mahu ini menjadi duluan… bagaimana dengan nasib bekas kakitangan?,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.