Kertas Putih Pertahanan dibentang 2 Dis ini

Kertas Putih Pertahanan dibentang 2 Dis ini

Deraf awal Kertas Putih diluluskan selepas dibentangkan pada Mesyuarat Keselamatan Negara hari ini.

Mohamad Sabu.
KUALA LUMPUR:
Kertas Putih Pertahanan Negara kini dalam peringkat akhir penyediaan dan dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada 2 Dis ini, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

Beliau berkata deraf awal Kertas Putih itu diluluskan selepas dibentangkan pada Mesyuarat Keselamatan Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini.

“Ini peringkat akhir dan kertas putih ini sebagai panduan untuk Kementerian Pertahanan dalam rancangan 10 tahun bagi kementerian itu,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Kementerian Pertahanan di Auditorium Wisma Pertahanan hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Mohd Zuki Mohd Ali dan Pemangku Panglima Angkatan Tentera Mohd Reza Mohd Sany.

Mohamad berkata Kertas Putih Pertahanan yang pertama kali dibuat di Malaysia itu mengambil contoh beberapa negara lain antaranya Brunei, Australia, Jerman dan New Zealand.

Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata Kementerian Pertahanan merupakan penerima kelima terbesar dalam Belanjawan 2020 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM15.6 billion.

Beliau berkata bagi program kesiapsiagaan dan operasi dalam memastikan kedaulatan negara terus dipertahan, sebanyak RM5.7 billion diperuntukkan kepada tentera darat, tentera laut (RM2 bilion), tentera udara (RM2.5 bilion) dan RM1.4 bilion untuk Angkatan Bersama.

“Komitmen akan diteruskan bagi memastikan setiap perancangan perbelanjaan mengikut prosedur sedia ada bagi mengelak berlakunya pembaziran,” katanya.

Sementara itu, Reza berkata, kerajaan bercadang untuk menyediakan kira-kira 20 bot Pemintas Laju (Fast Interceptor Crafts) sebagai usaha mempertahankan perairan negara terutama di Sabah.

Beliau berkata kira-kira RM220 juta disediakan untuk membeli bot itu dan tender telah dibuka bagi proses pembelian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.