Kebebasan akademik hak universiti, tapi kongres Melayu melampau batas, kata G25

Kebebasan akademik hak universiti, tapi kongres Melayu melampau batas, kata G25

G25 berkata, perhimpunan awam, sama ada forum atau kongres, tidak seharusnya mengetengahkan agenda politik secara terang-terangan.

Kongres Maruah Melayu pada 6 Okt lepas dihadiri oleh pemimpin Melayu, termasuk Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin kerajaan lain.
PETALING JAYA:
G25 berkata tidak ada salahnya untuk universti awam menganjurkan forum mengenai kebimbangan masyarakat kerana ia berhak mendapat autonomi akademik, tetapi Kongres Maruah Melayu yang menyaksikan pembentang menyampaikan ucapan kontroversi berhubung kaum dan agama bukanlah salah satu daripadanya.

Kumpulan dianggotai bekas pegawai kanan kerajaan itu merujuk kepada forum anjurannya sendiri yang diadakan di sebuah universiti awam baru-baru ini.

“Jika dibandingkan kongres itu dengan forum terbaru kami, jelas bahawa perhimpunan awam, sama ada forum atau kongres, tidak seharusnya mengetengahkan agenda politik secara terang-terangan.

“Ia bertujuan menambah pengetahuan dan mendidik,” kata G25, dalam kritikan terbaru terhadap pengajur perhimpunan di Shah Alam pada 6 Okt yang dihadiri Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan beberapa pemimpin kerajaan.

Acara tersebut yang dianjurkan bersama oleh Universiti Malaya (UM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dikritik banyak pihak apabila ketua eksekutif kongres, Zainal Kling merujuk kepada status kewarganegaraan orang bukan Melayu yang didakwanya terikat pada satu “kontrak sosial”.

G25 berkata, rejim yang membawa naratif perkauman “berakhir di bakul sampah sejarah” dan ahli akademik yang berucap pada kongres berkenaan melampaui batas.

“Kita tidak boleh membiarkan universiti di Malaysia bebas menyokong golongan yang menggunakan taktik Nazi membeza-bezakan rakyat bagi memberi laluan mudah kepada ahli politik yang terdesak memainkan emosi rakyat biasa dalam usaha rakus mereka merebut kuasa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.