Tinggal dua minggu lagi masyarakat beragama Hindu akan menyambut Deepavali.

Dan sudah pastinya pelita tanah liat terus menjadi pilihan berikutan harganya yang murah dan senang didapati.
Pemilik kedai K Devaraj Pottery, D. Reguraj berkata permintaan pelita yang diperbuat daripada tanah liat setiap tahun akan meningkat kerana ia satu-satunya barangan wajib ada bagi setiap keluarga untuk menyalakan cahaya di rumah pada perayaan pesta cahaya itu.

Sinaran cahaya pelita diibaratkan kecerahan yang menandingi kegelapan, keadilan yang menandingi kezaliman serta kebijaksanaan yang menandingi kejahilan.
Reguraj, 43, yang juga pembuat pelita tanah liat berkata setiap tahun beliau akan sibuk menyiapkan beribu-ribu pelita tanah liat pelbagai saiz dan reka bentuk sambil dibantu 12 pekerja bagi memastikan bekalan mencukupi untuk memenuhi permintaan sempena Deepavali yang akan disambut hujung bulan ini.
“Kami mempunyai kilang penghasilan barang tanah liat, jadi setiap tahun kami akan bertungkus-lumus menyiapkan lebih 30,000 pelbagai jenis pelita tanah liat,” katanya kepada memetik laporan Bernama.

Perkataan Tamil “Deepavali” adalah kombinasi dua perkataan iaitu “Deepam” yang membawa maksud cahaya atau lampu manakala “Vali” bermaksud arah atau jalan.
Reguraj berkata proses penghasilan pelita tanah liat mengikut kaedah tradisional mengambil masa kerana melalui beberapa proses bermula dengan tanah liat akan diuli lama dengan campuran air sebelum diterap mengikut saiz dan reka bentuk yang dikehendaki.
“Kesemua pelita yang diterap akan dibiarkan kering sebelum diasapkan dan dibakar supaya ia menjadi lebih keras dan kukuh, pelita tanah liat ini kemudian akan dihiasi dengan cat dan lukisan corak bagi nampak lebih menarik,” katanya yang menguruskan kedai itu dibantu isterinya, R. Thulasi, 40 tahun.

Reguraj yang merupakan generasi kelima menjalankan perusahaan keluarganya yang bermula sejak lebih 120 tahun itu berkata pelanggannya datang dari seluruh pelusuk negara khususnya dari utara dan yang paling jauh dari Johor Bahru.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]