
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha berkata ramai rakyat Malaysia sanggup menyeberangi Singapura untuk bekerja di sektor tersebut setiap hari kerana insentif yang ditawarkan dalam pekerjaan lebih menarik di negara itu.
“Justeru kerajaan dan pihak majikan sektor pembinaan dan 3D, harus berbincang antaranya menentukan gaji munasabah untuk pekerja sektor tersebut selaras dengan kos sara hidup dan menawarkan pelbagai insentif menarik seperti insuran, dan bayaran lebih masa.
“Pihak majikan juga harus mendedahkan pekerja dalam skim latihan bagi mengubah sikap agar rajin untuk bekerja dan meningkatkan kemahiran agar menjadi pekerja yang berkemahiran,” katanya kepada Bernama.
#WatanKerja (Locals@Work) adalah program kesamarataan kos pengambilan pekerja yang bertujuan mengalih kebergantungan terhadap pekerja asing berkemahiran rendah, yang diumumkan kerajaan menerusi pembentangan Belanjawan 2020.
Ia antara empat program yang akan diperkenalkan di bawah inisiatif #MalaysiaKerja yang akan dilancarkan kerajaan bertujuan mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih baik untuk belia dan wanita sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing berkemahiran rendah.
Di bawah program itu, warganegara yang menggantikan pekerja asing diberikan insentif gaji selama dua tahun sebanyak RM350 atau RM500 sebulan mengikut sektor. Manakala majikan pula akan menerima insentif pengambilan sebanyak RM250 sebulan dalam tempoh yang sama.
Tiga lagi program di bawah inisiatif #MalaysiaKerja ialah #GraduanKerja (Graduates@Work), #WanitaKerja (Women@Work) dan #PerantisKerja (Apprentice@Work).
Menyentuh program #GraduanKerja, Jufitri berkata langkah itu wajar untuk membasmi lambakan graduan menganggur, namun kerajaan harus fokus dalam menyelesaikan agenda berkenaan.
#GraduanKerja direka khusus untuk pengambilan graduan yang menganggur melebihi 12 bulan, di samping itu, graduan menerima insentif gaji selama dua tahun sebanyak RM500 sebulan sebagai tambahan kepada gaji yang diterima.
Exco Armada Nasional PPBM, Muzammil Ismail berkata Belanjawan 2020 dengan jelas memberi perhatian kepada anak muda khususnya dalam memasarkan graduan baharu melalui inisiatif #GraduanKerja, #PerantisKerja dan #WatanKerja.
“Penekanan kerajaan terhadap sektor Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di bawah #PerantisKerja dalam bajet kali ini, perlu dilihat sebagai satu usaha untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan baharu, saya percaya Malaysia juga bakal mencontohi Jerman dalam usaha memasarkan graduan TVET,” katanya.