
Pengerusi Mohamed Rafick Khan berkata, ia terutamanya insentif di bawah Kempen Pemilikan Rumah dan penurunan nilai ambang bagi warga asing membeli rumah bertingkat di kawasan bandar.
Rafick juga mendakwa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan tidak melibatkan Persatuan Pembeli Rumah dan kumpulan pengguna lain sebelum membentangkan belanjawan.
“Mereka hanya melibatkan dan mendengar satu pihak – pemaju. Adakah terlalu sukar untuk adil dan berbeza dengan kerajaan lalu? Jika ada kehendak, ia boleh dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan.
Jumaat lalu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan kerajaan akan menurunkan nilai ambang bagi kondominium dan pangsapuri di kawasan bandar daripada RM1 juta kepada RM600,000 untuk pemilikan asing.
Langkah itu dilaksanakan bagi mengurangkan lambakan kondominium dan pangsapuri yang tidak terjual dianggarkan berjumlah RM8.3 bilion pada suku kedua tahun 2019.
Putrajaya juga memperluaskan Kempen Pemilikan Rumah sehingga enam bulan hingga 31 Dis 2019, di mana pemaju menawarkan sekurang-kurangnya diskaun 10% untuk hartanah yang layak dan akan dipadankan dengan pengecualian duti setem.
Rafick berkata insentif yang diumumkan itu adalah “belanjawan untuk pemaju”.
Beliau mencadangkan beberapa syarat dikenakan ke atas diskaun 10%, termasuk untuk kempen yang berlangsung selama sekurang-kurangnya 12 bulan dan bagi pemaju membuktikan mereka menjalankan kempen sedemikian secara komprehensif.
Skim ini, katanya, hanya boleh ditawarkan kepada pemaju dengan projek yang telah siap.
“Projek baru yang dilesenkan tidak boleh diberikan keistimewaan ini kerana ia boleh menyebabkan penyalahgunaan,” katanya.