
Menteri Kewangan Lim Guan Eng semasa membentangkan Belanjawan 2020 bertemakan “Memacu Pertumbuhan dan Keberhasilan Saksama” berkata, peruntukan tersebut lebih tinggi berbanding RM28.7 bilion pada belanjawan tahun lepas yang bertujuan mengurangkan beban perbelanjaan penjagaan kesihatan awam.
Lim berkata peruntukan yang diumumkan itu merangkumi tujuh perkara, antaranya RM1.6 bilion bagi pembinaan hospital baru dan menaik taraf serta membesarkan hospital sedia ada, termasuk Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, Hospital Kampar, Hospital Labuan dan Pusat Kardiologi Hospital Queen Elizabeth II di Sabah.
“Sejumlah RM319 juta bagi membina dan menaik taraf klinik kesihatan dan pergigian serta kemudahan kuarters. Sebagai memenuhi satu daripada janji manifesto Pakatan Harapan, peruntukan permulaan sebanyak RM60 juta akan disediakan kepada semua kanak-kanak pada tahun depan.
“Bagi memastikan perkhidmatan kecemasan dan trauma lebih responsif, sebanyak RM59 juta akan diperuntukkan untuk menambah bilangan ambulans melalui kerjasama dengan perkhidmatan ambulans badan bukan kerajaan (NGO),” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata dalam peruntukan yang sama, RM227 juta disediakan untuk menambah baik peralatan perubatan, manakala RM95 juta untuk pengubahsuaian prasarana dan kemudahan perubatan seperti di Hospital Pontian.
Dalam pada itu, Lim berkata RM31 juta turut diperuntukkan bagi menaik taraf dan menyelenggara perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), antara lain melaksanakan projek rintis bagi sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) di hospital dan RM5 juta bagi perkhidmatan Klinik Bergerak untuk memudahkan penduduk di kawasan luar bandar terutama Orang Asli.