
Beliau menyeru kerajaan supaya beralih fokus kewangan supaya rakyat kembali bekerja dan merangsang ekonomi.
“Bagi menyelamatkan dan mengeluarkan ekonomi daripada kemelesetan sekarang, fokus kewangan kerajaan harus beralih daripada mengawal tahap hutang dan defisit fiskal kepada meminjam lebih banyak wang,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.
Setiausaha agung DAP itu berkata, langkah pertama ialah “pelaksanaan serta merta” cadangan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk menambah bantuan kebajikan bulanan daripada RM200-300 kepada RM1,000 bernilai RM12 bilion.
“Ini akan menyediakan jaringan keselamatan kewangan serta merta kepada ramai orang,” kata Lim.
Beliau juga menggesa kerajaan supaya melanjutkan tempoh moratorium pembayaran pinjaman bank selama 6 bulan lagi apabila ia tamat pada 30 September ini, dengan berkata langkah itu akan menelan kos RM6.4 bilion, tetapi akan membantu 8 juta individu dan syarikat Malaysia.
Selain itu, Lim menyeru kerajaan supaya melaksanakan insentif pengambilan pekerja di bawah skim Malaysia@Work bernilai RM500 sebulan kepada pekerja dan RM300 kepada majikan.
Katanya, ia bagi mendorong majikan mengambil pekerja tempatan seperti yang dicadangkan oleh PH dalam Belanjawan 2020.
“Memperluaskan skim ini untuk menampung 600,000 pekerja Malaysia dan majikan mereka akan menelan belanja sebanyak RM13 bilion.”
Tambahnya, bil akhir mungkin dilihat tinggi, namun tindakan itu amat perlu.
“Meminjam RM31.4 bilion untuk membantu 1 juta rakyat Malaysia yang menganggur mungkin mahal, tetapi diperlukan untuk menyelamatkan pekerjaan, perniagaan dan mata pencarian rakyat Malaysia,” kata Lim.
Menteri Sumber Manusia M Saravanan sebelum ini berkata, jumlah pencari kerja di negara ini mungkin meningkat kepada 1 juta orang seawal bulan ini, dengan 350,000 siswazah baru memasuki pasaran kerja dan 200,000 rakyat tempatan kembali dari luar negara.