9 syarikat disenarai hitam berkaitan AP kenderaan

9 syarikat disenarai hitam berkaitan AP kenderaan

Sembilan syarikat disenarai hitam selepas audit pematuhan dijalankan, kata menteri.

KUALA LUMPUR:
Sembilan syarikat disenarai hitam selepas audit pematuhan dijalankan, kerana didapati melakukan kesalahan berkaitan penyelewengan Lesen Import (AP) kenderaan, bagi tempoh 2017 hingga 2018, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Darell Leiking.

Beliau berkata audit pematuhan itu meliputi keseluruhan proses pengimportan sehingga kenderaan itu dijual dan didaftarkan, selain ia bertujuan memastikan syarikat-syarikat pemegang AP Terbuka, mematuhi garis panduan sedia ada.

“Kementerian ini sejak 2009 melaksanakan audit pematuhan secara berkala, bagi memastikan isu penyalahgunaan AP dapat diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Pang Hok Liong (PH-Labis) yang ingin tahu sama ada audit forensik wajib dijalankan ke atas semua penerima AP sedia ada, untuk memastikan tiada ketirisan dan unsur rasuah berlaku dalam pemberian kontrak dan pengagihan AP.

Jawapan berkenaan dipaparkan di laman web Parlimen malam ini.

Darell berkata bawah Dasar Baharu AP Terbuka yang bermula pada 1 Jan lepas bagi menambah baik pengurusan dan memastikan pengagihan AP lebih telus, beberapa penambahbaikan dilaksanakan antaranya agihan asas peruntukan AP berdasarkan modal berbayar syarikat dan sebarang permohonan tambahan akan dipertimbang berdasarkan prestasi jualan oleh syarikat.

“Selain itu, bagi permohonan baharu syarikat-syarikat AP Terbuka, kereta dan motosikal yang dilantik adalah selepas melalui penilaian dan audit oleh juruaudit luar bertauliah yang dilantik oleh kementerian,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.