
Timbalan Presiden Warisan yang juga Pengarah Pilihan Raya Darell Leiking berkata, bahan-bahan tersebut, termasuk risalah dan kandungan bertulis, tidak boleh diterima dan merupakan kesalahan pilihan raya yang serius.
Katanya, laporan polis itu memetik pelanggaran di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, termasuk Seksyen 4A kerana mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan, dan Seksyen 9 kerana membuat kenyataan palsu mengenai calon, serta peruntukan berkait fitnah dan hasutan di bawah Kanun Keseksaan.
“Ini bukan lagi sekadar politik kotor. Ini jenayah pilihan raya yang terancang dan sistematik, bertujuan untuk menipu, mengelirukan, dan menakut-nakutkan pengundi Sabah dengan fakta yang direka-reka dan fitnah yang melampau,” katanya dalam kenyataan.
Leiking menggesa polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar menyiasat perkara ini dengan ‘segera dan tegas’, serta menyeru pengundi agar ‘menolak kempen kotor ini’, sebaliknya ‘memberikan sokongan padu kepada Warisan’.
“Rakyat Sabah berhak mendapat kempen yang berlandaskan fakta, dasar, dan masa depan, bukan kempen yang diselubungi fitnah jahat,” tegasnya.
Katanya lagi, parti itu bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa dengan menyerahkan segala bukti fizikal dan digital yang telah dikumpulkan.
Antara bahan kempen yang dilihat oleh FMT termasuk sekeping risalah dua muka yang memaparkan logo Warisan pada satu muka dengan kenyataan ‘Anda undi kami, mereka dapat IC’, manakala bahagian belakangnya memaparkan kad pengenalan yang kelihatan milik warga asing.