Jangan lupa etnik lain, kata Kit Siang menjelang Kongres Maruah Melayu

Jangan lupa etnik lain, kata Kit Siang menjelang Kongres Maruah Melayu

Dr Mahathir dijangka menyampaikan ucaptama pada himpunan kongres Melayu Ahad ini, yang akan turut dihadiri pemimpin PAS dan Umno.

Lim Kit Siang berkata, semua kumpulan agama dan etnik harus menikmati kehormatan.
PETALING JAYA:
Kongres Maruah Melayu yang bakal diadakan kelihatan dikritik oleh pemimpin DAP, dengan Lim Kit Siang bertanya sama ada penganjurnya komited dalam memperjuangkan kumpulan etnik lain.

“Hanya ada satu maruah untuk Malaysia jika setiap kumpulan etnik dan agama di Malaysia menikmati kehormatan, yang selaras dengan prinsip asas perlembagaan dan Rukun Negara,” kata pemimpin DAP itu dalam satu kenyataan.

Kongres yang dijadualkan Ahad ini dianjurkan bersama oleh Universiti Malaya (UM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Menurut penganjur, kongres tersebut yang akan diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam, akan memberi perhatian kepada masalah dihadapi oleh orang Melayu dalam bidang pendidikan, agama, kebudayaan dan ekonomi.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dijangka menyampaikan ucaptama pada himpunan itu, yang akan turut dihadiri pemimpin PAS dan Umno.

Lim mempersoalkan sama ada peserta kongres berkenaan akan menghapuskan kebimbangan berkait ketegangan kaum dan agama yang berpunca daripada “berita palsu dan ucapan kebencian”.

“Apakah Kongres Maruah Melayu pada Ahad ini akan mengetuai kempen kesedaran di media bagi melupuskan bom jangka yang mengancam proses pembinaan negara dan hanya menjanjikan bencana ke atas keamanan, toleransi, keharmonian dan kejayaan Malaysia yang majmuk?”

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy mempersoalkan niat penganjur kongres berkenaan dengan berkata bahawa mereka bertujuan politik.

Beliau berkata, ini dapat dilihat apabila pengajur “menidakkan” Anwar Ibrahim dengan tidak menjemput presiden PKR itu hadir sama.

“Apakah beliau tidak layak sebagai pemimpin Melayu? Apakah beliau tidak memperjuangkan orang Melayu atau Malaysia? Harus diingat, beliau akan menjadi perdana menteri menggantikan Mahathir dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata, pemimpin Melayu pada kongres berkenaan mungkin “tidak begitu senang dengan Anwar”.

Ramasamy juga menempelak Menteri Pendidikan Maszlee Malik kerana membenarkan universiti awam terlibat dalam himpunan itu.

“Universiti awam memainkan peranan sebagai penganjur tidak boleh diterima. Barangkali himpunan itu patut diserahkan kepada pihak lain.

“Adalah naif untuk mengandaikan bahawa tidak ada motivasi politik di sebalik kongres itu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.