Ahli Parlimen gesa gantung guru didakwa kokot telinga pelajar

Ahli Parlimen gesa gantung guru didakwa kokot telinga pelajar

Kasthuri Patto berkata, tiada jaminan guru terbabit tidak akan mengulangi perbuatan itu selepas dipindahkan ke sekolah lain.

Kasthuri Patto berkata, guru yang mendera pelajar mereka perlu menjalani penilaian psikiatrik.
PETALING JAYA:
Seorang ahli Parlimen DAP hari ini membidas keputusan memindahkan seorang guru yang didakwa mendera seorang pelajar ke sekolah lain kerana guru itu sepatutnya digantung sementara menunggu siasatan selesai.

Kasthuri Patto berkata, guru yang didakwa mendera pelajar mereka dari segi emosi, seksual atau fizikal tidak patut dibenarkan berada di kalangan kanak-kanak “sehingga dan kecuali mereka menjalani penilaian psikologi atau psikiatrik terlebih dahulu”.

Ahli Parlimen Batu Kawan itu mengulas laporan seorang guru di Sabah yang didakwa mengokot telinga seorang pelajar kerana tidak membuat kerja sekolahnya, dipindahkan ke sekolah lain.

Satu laporan polis sudah dibuat dan guru itu diminta menjalani kaunseling.

Kasthuri yang juga ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi dan Kesaksamaan Gender, berkata tiada jaminan guru terbabit tidak akan mengulangi perbuatan itu di sekolah lain.

“Lebih teruk jika ia bukan hanya mengokot telinga seorang kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau tertanya-tanya jika ada siasatan dalaman dijalankan ke atas insiden itu kerana hakikat guru terbabit dipindahkan “jelas menunjukkan dia pernah mengokot telinga pelajarnya”.

Kasthuri berkata, jika insiden itu berlaku di luar kawasan sekolah, kes berkenaan akan disiasat di bawah Akta Kanak-kanak 2001.

“Apa yang berlaku kepada pelajar itu jelas dinyatakan di bawah peruntukan Akta Kanak-kanak, jadi kenapa guru itu dipindahkan, bukannya digantung untuk perkara itu disiasat secara mendalam oleh polis?”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.