Tarikh peralihan kuasa ditetapkan nanti, kata Anwar

Tarikh peralihan kuasa ditetapkan nanti, kata Anwar

Anwar Ibrahim berkata PH sebelum ini bersetuju untuk tidak nyatakan tarikh tersebut secara terbuka.

SHAH ALAM:
Anwar Ibrahim berkata tarikh peralihan kuasa akan ditetapkan nanti, ketika ditanya adakah beliau menjangkakan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad akan berundur 2020.

Presiden PKR itu dalam satu temubual Bloomberg memberitahu beliau menjangkakan peralihan kuasa akan berlaku pada tahun itu.

Ditemui pemberita selepas dialog bersama pelajar Universiti Teknologi Mara hari ini, Anwar menjelaskan PH sebelum ini bersetuju untuk tidak menyatakan tarikh peralihan kuasa secara terbuka untuk tidak melemahkan pentadbiran semasa.

Beliau berkata tidak mengumumkan tarikh tertentu bukan masalah, “tetapi tidak akan menghalang orang ramai membuat spekulasi.”

Di satu dialog di New York, Amerika Syarikat pada 24 Sept lepas, Mahathir berkata dia mungkin ada tiga tahun lagi.

Kenyataan itu tidak diterima baik pimpinan PKR, termasuk pengasasnya Syed Husin Ali, yang secara terbuka mengatakan beliau memang tidak pernah memegang cakap pengerusi PPBM itu.

Mahathir, yang kembali dilantik perdana menteri pada Mei tahun lalu, sebelum ini menegaskan beliau akan berundur selepas kira-kira dua tahun.

Ditanya mengenai kritikan Syed Husin, Anwar berkata kenyataan ahli politik veteran itu hanyalah peringatan untuk semua pihak.

“Untuk mencadangkan bahawa agenda reformasi tergelincir, mungkin tidak sepenuhnya benar, tetapi saranan Syed Husin untuk memastikan kita memelihara idealisme kita,” katanya.

“Kredit kepada Mahathir sebab telah melakukan yang terbaik dalam tempoh pentadbiran ini.”

Ditanya mengenai seruan memperkenalkan semula GST, Anwar berkata kerajaan perlu mengkaji cukai itu dengan berhati-hati.

“Ia perlu dilakukan,” katanya.

Terdahulu, Mahathir berkata kerajaan akan pertimbangkan memperkenalkan semula GST jika itu kehendak rakyat.

Perkembangan ini menyusuli seruan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menyeru GST diperkenalkan semula tapi pada kadar lebih rendah iaitu 3% berbanding 6% sebelum ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.