Polis: Dadah bernilai RM41.5 juta dirampas di Kelantan

Polis: Dadah bernilai RM41.5 juta dirampas di Kelantan

Ia merupakan peningkatan sebanyak RM9.7 juta berbanding RM31.8 juta bagi tempoh sama tahun lepas.

Ketua polis Kelantan Hasanuddin Hassan (kanan) menunjukkan sebahagian daripada fotofit suspek berkaitan dadah di ibu pejabat IPK Kelantan hari ini. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Polis Kelantan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM41.5 juta dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Ketua polis negeri Hasanuddin Hassan berkata, ini merupakan peningkatan sebanyak RM9.7 juta berbanding RM31.8 juta bagi tempoh sama tahun lepas.

“Dalam tempoh itu juga seramai 15,521 individu terlibat dengan aktiviti dadah ditahan, iaitu meningkat sebanyak 16 peratus atau 2,140 orang berbanding 13,381 orang dalam tempoh sama tahun lepas,” katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Hasanuddin berkata, antara jenis dadah dirampas, termasuklah heroin, ganja, pil yaba, syabu, ubat batuk, pil Eramin 5, daun ketum dan air ketum.

Beliau berkata, nilai sitaan harta juga meningkat kepada RM7.2 juta sepanjang tempoh itu yang merupakan peningkatan sebanyak 20 peratus berbanding RM6 juta dalam tempoh sama pada tahun lepas.

Beliau berkata, semua kejayaan itu adalah hasil maklumat dan kerjasama yang diberikan oleh orang ramai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.