
Tiada inisiatif sebenar di atas pihak kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk merapatkan jurang perbezaan di antara Grab dan industri teksi.
Segala kenyataan dikeluarkan oleh persatuan industri teksi atau dibongkar dari semasa ke semasa dianggap sensitif oleh kerajaan PH. Segala kritikan terhadap kerajaan PH dianggap lontaran tuduhan dan cacian sengaja semata-mata untuk menggugat kepentingan pihak berkuasa. Tidak ada inisiatif atau wawasan daripada pihak Kementerian Pengangkuta untuk maju seiring dengan perubahan semasa.
Apabila media sosial diguna untuk mengkritik, Kementerian Pengangkutan menganggap ia satu tindakan keterlaluan. Walaupun media sosial dianggap dunia liar barat ia lebih efektif dan efisien di dalam memperjuang matlamat kami. Juga ditekankan, kami tidak menggunakan media sosial sebagai pelantar untuk memutar belit kebenaran serta kami tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak.
Walaupun gelombang media sosial akan terus menghantui Kementerian Pengangkutan, kami tidak mahu Kementerian Pengangkutan menggadai maruah dan masa depan kami.
Apapun semua ini dilakukan oleh kami agar pihak kerajaan PH bersama Kementerian Pengangkutan akan berusaha membentuk satu landasan yang seimbang, cemerlang dan sejahtera. Kepura-puraan untuk menanggani masalah telah menyebabkan pelbagai cabaran dan jikalau kerajaan PH dan Kementerian Pengangkutan gagal menghitung dan memahami secara menyeluruh rintihan dan kritikan industri teksi, ia mampu menimbulkan dan/atau menyebabkan gelombang besar.
Dalam usaha untuk mentransformasi industri teksi jangan kita terpedaya oleh faktor lain. Dalam melakukan penghitungan kami menyaran kepada kerajaan PH dan Kementerian Pengangkutan agar mengguna pakai skala ekonomi yang adil.
Dalam keghairahan untuk memperkukuhkan pentadbiran jangan industri teksi didiskriminasi. Kami tuntut perlindungan terhadap diskriminasi. Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan wajib diberi penekanan. Kami juga menggesa kerajaan dan kementerian agar lebih telus dalam mengurus hak asasi pemandu industri teksi.
Demi menguatkan peranan, kerajaan dan kementerian perlu dan wajib fokus dan mempertahankan kepelbagaian, keseimbangan dan kesederhanaan. Kini industri teksi dipelopori pelbagai cabaran yang amat mencabar serta telah menimbulkan ketidakstabilan. Pelbagai pihak meluahkan dan melontar tuduhan liar dan tidak berasas keatas industri teksi semata-mata untuk manfaat sendiri.
Industri teksi adalah penyumbang terbesar kepada masyarakat selama 30 tahun serta berpotensi hebat untuk terus berkembang tetapi kini terpaksa melalui cabaran dan rintangan yang amat menduga dan mendukacitakan.
Apabila kerajaan agresif menerokai bidang baru, kami tersingkir daripada arus pembangunan dan tidak mampu mengembangkan pendapatan. Oleh itu, kami memohon agar menghalusi semula dasar-dasar berkaitan industri teksi.
Yang dipohon oleh kami bukanlah untuk menggagalkan atau mengugat sistem pemerintahan tetapi memperkukuhkannya. Kami pohon perlu adanya usaha untuk meneliti dan menimbang semula pandangan semua pihak berkepentingan.
Adalah pandangan kami, kerajaan PH dan kementerian setakat kini, tidak mampu merungkai jurang ketidakadilan di antara Grab dan industri teksi. Terdapat kelemahan ketara. Yang dicadang dan dirangka terlebih dahulu tidak disempurnakan dan ini telah menyebabkan industri teksi diselubungi dengan jerebu Grab.
Tiada kunci perubahan dan oleh itu kerajaan mesti memberi pertimbangan bersesuaian.
Kami cadangkan perkara seperti berikut yang perlu diberi keberatan oleh kerajaan dan kementerian:
a. Bahawa kuasa menteri untuk mengeluarkan Warta menurut Seksyen 6 Akta Pengangkutan Jalan 1987 perlu digubal untuk merangkumi ciri dan sifat kajian semula melalui proses mahkamah
b. Bahawa Seksyen 7 Akta Pengangkutan Jalan 1987 perlu merangkumi kereta sewa dan Grab dan pindaan sejajar perlu dikemas kini melalui Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987
c. Bahawa Seksyen 12 Akta Pengangkutan Jalan 1987 wajib dipinda untuk merangkumi Grab agar pemeriksaan kenderaan motor seimbang dengan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987
d. Bahawa Sekyen 13 Akta Pengangkutan Jalan 1987 wajib dipinda dan segala tatacara dan aturcara berkaitan pertukaran atau pindahmilik industri teksi juga wajib dan perlu melibatkan Grab
e. Bahawa pengeluaran lesen untuk pemandu Grab di bawah Seksyen 17 Akta Pengangkutan Jalan 1987 perlu mengikuti dan menepati garis panduan dan piawaian yang ditetapkan untuk industri teksi
f. Bahawa Seksyen 22 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dipinda dan Grab diwajibkan memperagakan lesen perdagangan kenderaan motor
g. Bahawa Seksyen 31 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dipinda menyerap ciri-ciri baru hilang kelayakan kerana kesalahan khusus bagi Grab agar seimbang dengan prosedur industri teksi
h. Bahawa tribunal khas dibentuk untuk mendengar dan memutus perselisihan di antara Kementerian Pengangkutan dan pemandu kenderaan perdagangan
i. Bahawa tribunal khas merangkumi tiga ahli panel dan seorang daripadanya wajib dipilih di kalangan pemandu kenderaan perdagangan
R Kengadharan adalah seorang peguam
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT