Undi18: SPR wajar guna kaedah sedia ada, tak perlu tunggu

Undi18: SPR wajar guna kaedah sedia ada, tak perlu tunggu

Pengerusi ERC Ab Rashid berkata, sistem sedia ada iaitu kaedah online dan menggunaka borang secara fizikal boleh digunakan sementara sistem daftar automatik, bakal mengambil masa dua tahun, dibangunkan.

Ab Rashid Ab Rahman mengesyorkan Suruhanjaya Pilihan Raya menggunakan kaedah semasa untuk mendaftarkan mereka yang berusia 18 tahun sebagai pemilih.
PUTRAJAYA:
Pengerusi Jawatankuasa Khas Penambaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC), Ab Rashid Ab Rahman berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) wajar menggunakan sistem sedia ada bagi membolehkan mereka berusia 18 tahun mendaftar sebagai pengundi.

Rashid berkata sistem sedia ada iaitu kaedah online dan menggunakan borang secara fizikal boleh digunakan sementara sistem daftar automatik, bakal mengambil masa dua tahun, dibangunkan.

Kata beliau, SPR tidak perlu menunggu sehingga sistem automatik dibangunkan sepenuhnya.

“Jadi buat sementara waktu ini sistem lama boleh diguna pakai sehingga sistem baru dapat diwujudkan.

“Ini cara terbaik. Tetapi kita harap semua yang belum daftar akan daftar,” kata beliau kepada FMT.

Ab Rashid Ab Rahman.

Penganalisis dan parti politik bimbang pendirian SPR menunggu sehingga mekanisme sistem automatik dibangunkan akan menafikan hak pengundi mereka yang berusia 18 tahun.

Julai lalu, Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun, pendaftaran pengundi automatik pada usia 18 tahun, dan menurunkan umur calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun telah diluluskan oleh parlimen.

Bagaimanapun awal bulan lalu, SPR menegaskan pihaknya memerlukan dua tahun bagi mendaftar mereka berusia 18 tahun secara automatik.

Dari segi teknikal SPR belum bersedia ke arah pelaksanaan sistem pendaftaran automatik.

Semalam, Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata pihaknya membenarkan mereka berusia 18 tahun bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai bulan depan.

Bagaimanapun kata beliau, rakyat berusia 18 tahun tidak dibenarkan mengundi di Tanjong Piai kerana pindaan Artikel 119 Perlembagaan Persekutuan yang diwartakan pada 10 Sept lalu belum dikuatkuasakan.

Mengulas lanjut, Rashid memberitahu sistem daftar automatik belum boleh diwujudkan buat masa ini serta-merta kerana sedang membina asas infrastruktur untuk menentukan bahawa sistem ini boleh dilaksanakan sebab melibatkan agensi-agensi lain termasuk Jabatan Pendaftaran Negara.

Katanya, SPR sedang melakukan apa yang perlu untuk tentukan secepat mungkin, sistem daftar pemilih automatik dapat dilaksanakan.

“Perlu sistem manual, kalau tidak, mana ada sistem lain yang ada nak daftar. Pendaftaran mesti diteruskan,” kata beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.