
Pasukan itu berkata siasatan itu, termasuk perbualan dengan lembaga pengelola dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Rendah Kebangsaan Perempuan Methodist (MGS), Jalan Anson, mendapati rancangan hari itu adalah guru beragama Islam dan Kristian menyampaikan “ucapan perpaduan”.
Guru beragama Islam itu bagaimanapun tidak dapat menyampaikan ucapannya, lalu acara diteruskan dengan ucapan oleh guru beragama Kristian.
Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy ketika mengumumkan dapatan pasukan itu berkata ucapan perpaduan itu diadakan kerana terdapat trend dalam kalangan pelajar beragama Islam membeli makanan hanya daripada gerai milik orang Islam di kantin sekolah.
“Tetapi kantin sekolah itu diuruskan oleh seorang Melayu beragama Islam. Kekurangan campuran dan pemisahan halus itu membimbangkan pihak sekolah.
“Bagi mengatasi keadaan itu, sekolah membuat keputusan untuk mengubah keadaan dengan mencadangkan satu ucapan perpaduan untuk orang Kristian dan orang Islam pada hari pemberian hadiah,” kata Ramasamy yang juga exco Pendidikan negeri.
Beliau berkata acara itu dianggap berjaya kerana ia merapatkan hubungan antara pelajar berlainan kaum dan agama.
Namun begitu, Ramasamy berkata tidak salah jika sekolah membacakan doa Kristian dan Islam.
“Sekolah mubaligh bukan betul-betul sekolah sekolah kebangsaan, ia ditubuhkan lama sebelum wujudnya sekolah kebangsaan.
“Kurikulum mungkin sama tetapi tradisinya, penekanan lain dalam pengajarannya dan kepentingan doa-doa Kristian membezakan ia dengan sekolah kebangsaan.”
Polis menjalankan siasatan ke atas dakwaan sekolah terbabit melarang doa Islam tetapi membenarkan doa Kristian.
Bukit Aman hari ini berkata polis sudah menyoal lima orang, termasuk guru, pengadu dan peserta program sekolah itu.
Ramasamy berkata sekolah akan bekerjasama sepenuhnya dengan polis dan pihak berkuasa pendidikan.
“Sekolah mahu mereka faham ucapan perpaduan itu bertujuan merapatkan hubungan guru dan pelajar,” katanya.