
Helena Kennedy, seorang peguam British yang membantu siasatan PBB ke atas kematian Khashoggi, berkata perisik di konsulat berkenaan merujuk pengkritik lantang Saudi itu sebagai “haiwan korban”.
“Ada perbincangan mengenai ‘adakah dengan cara ini badan dan pinggul itu muat dalam sebuah beg,” katanya dalam program dokumentasi televisyen BBC yang disiarkan pada malam Isnin.
Kennedy berkata, menerusi rakaman rahsia di konsulat Saudi itu, seorang ahli patologi forensik yang disyaki memotong mayat Khashoggi berkata “saya sering memainkan muzik ketika mengerat mayat. Kadangkala saya minum kopi dan sebatang cerut di tangan”.
“Ini kali pertama dalam hidup saya, saya perlu memotong (mayat) di atas lantai – walaupun anda seorang penyembelih dan mahu mengerat, dia akan gantung haiwan untuk berbuat demikian.
“Mereka bercakap mengenai penungguan untuk Khashoggi tiba dan mereka kata ‘adakah haiwan korban sudah sampai’. Anda boleh dengar mereka ketawa, ia menyeramkan.”
Turki menyerahkan rakaman lebih 45 minit itu kepada PBB untuk membolehkan mereka menyiasat kejadian berkenaan.
Khashoggi ke Konsulat Saudi di Istabul untuk menguruskan dokumen perceraian yang diperlukan untuk mengahwini tunangnya, tetapi dia tidak keluar dari sana kemudian.
“Pada satu tahap di mana anda dengar Khashoggi berubah daripada seorang lelaki yang berkeyakinan ke arah ketakutan, semakin cemas, takut dan kemudian tahu dia akan mati,” kata Kennedy.
Pelapor Khas PBB, Agnes Callamard yang turut mendengar rakaman rahsia itu berkata, Khashoggi bertanya kepada pembunuh disyaki “Adakah anda akan beri saya suntikan?” yang kemudiannya dijawab “ya”.
“Bunyi yang didengari selepas itu menunjukkan dia sesak nafas, mungkin disebabkan beg plastik yang disarung ke kepalanya.”
Sejurus itu, Kennedy berkata, seseorang berkata “Dia ialah anjing, letak ini di kepalanya, bungkusnya, bungkusnya”.
“Anda boleh anggap mereka mengerat kepalanya,” katanya.