
Kes itu menimbulkan persoalan sama ada rakaman sedemikian yang dibuat di tempat kerja sah atau boleh diterima, dan cara pekerja boleh memastikan diri dilindungi dalam pertikaian di tempat kerja.
FMT meminta pandangan Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Syed Hussain Syed Husman dan peguam pekerjaan Lim Zi-Han mengenai perkara ini.
Kenapa rakaman rahsia di tempat kerja dibuat?
Lim berkata, merakam mesyuarat secara rahsia menjadi perkara yang lazim dilakukan kalau-kalau timbulnya pertikaian pada masa akan datang. Bagaimanapun, seperti yang ditunjukkan oleh keputusan Mahkamah Perusahaan baru-baru ini, tindakan ini boleh menjejaskan pihak yang mengemukakannya.
Beliau mengimbau kes di mana mahkamah membenarkan rakaman rahsia oleh pekerja diterima sebagai keterangan tetapi hanya mengambil kiranya secara minimum.
“Mahkamah melihat keterangannya sebagai tidak boleh dipercayai kerana (pihak yang membuat rakaman) dengan sengaja berkata sesuatu (untuk dirakam) bagi mengukuhkan kesnya, sedangkan majikan, yang tidak menyedari dia sedang dirakam, lebih berkemungkinan bersikap jujur.”
Mengapa rakaman ‘rahsia’ perlu dielak
Kedua-dua Akta Komunikasi dan Multimedia dan Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) menetapkan hukuman bagi kesalahan membuat rakaman rahsia.
Mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia, seseorang yang disabitkan kesalahan boleh didenda hingga RM50,000 atau penjara hingga setahun manakala PDPA memperuntukkan denda hingga RM300,000 atau penjara hingga dua tahun.
Syed Hussain berkata, rakaman tanpa persetujuan boleh “mengubah tempat kerja menjadi persekitaran yang tidak mesra, jika dibiarkan”. Sebaliknya, beliau menganjurkan agar majikan memupuk persekitaran yang menggalakkan komunikasi terbuka.
Jangan rakam, sebaliknya buat catatan
Bagaimanapun, Lim dan Syed Hussain bersetuju bahawa mempunyai rekod perbualan adalah penting, tetapi ia harus dibuat dengan cara yang adil dan telus, seperti mengambil minit terperinci atau mendedahkan bahawa sesuatu perbincangan akan dirakam.
Lim turut mencadangkan agar ringkasan mesyuarat dikongsi dengan peserta supaya semua yang terlibat dapat mengesahkan apa yang diperkatakan.
Bagaimanapun, jika sesuatu perkara menjadi perbalahan dan timbul panggilan untuk mengambil tindakan drastik, Lim menasihatkan individu tersebut agar mendapatkan nasihat guaman.
“Pihak-pihak terlibat juga harus fikir dengan mendalam kesan menjadikan rakaman rahsia sebagai keterangan,” katanya.
“Walaupun rakaman rahsia boleh diterima sebagai keterangan, tertakluk kepada mahkamah untuk menilai kepentingan keterangan itu, (jadi) lebih baik jika semua pihak sedar bahawa mereka dirakam.”