
Mohamad Afzan Majid daripada bomba Damansara berkata, tiada riak sedih di wajah Samirah Muzaffar apabila mereka sampai di rumah pasangan itu di Mutiara Damansara pada 14 Jun 2018.
“Seorang perempuan Melayu melambai kepada kami. Kami bertiga kemudian datang mendekati perempuan tersebut dan perempuan tersebut menyatakan dirinya sebagai pemilik rumah tersebut dan isteri kepada mangsa kebakaran,” kata Afzan kepada Timbalan Pendakwa Raya Ashyraf Ashy’ari Kamaruzaman.
Samirah dan dua remaja didakwa atas pembunuhan Nazrin Nazrin. Seorang lagi suspek, Eka Wahyu Lestari, seorang warga Indonesia, masih bebas.
Afzan berkata selama 22 tahun menjadi anggota bomba, dia tidak pernah nampak ahli keluarga mangsa setenang Samirah.
Afzan berkata apabila mereka sampai ke rumah Nazrin, dia dan dua anggota bomba bergegas naik ke tingkat atas rumah ke bilik tempat kejadian untuk memadam kebakaran, diikuti oleh Samirah.
“Saya melihat isteri mangsa cuba bertindak untuk masuk ke bilik tempat kejadian tetapi dihalang oleh saya,” katanya.
Selepas kebakaran berjaya dipadamkan dalam tempoh dua minit, Afzan membawa Samirah turun ke tingkat bawah rumah.
“Isteri mangsa meronta meminta untuk masuk ke dalam bilik tersebut tetapi saya telah menghalang beliau,” katanya.
Afzan berkata Pegawai Bomba Tanhoss Bah Agem kemudian memaklumkan terdapat satu mayat dalam bilik tersebut.
“Isteri mangsa kemudian merayu agar dibenarkan naik ke bilik tersebut untuk melihat suami beliau,” katanya.
Afzan berkata dia mengiringi Samirah ke bilik tempat kejadian selepas dibenarkan Tanhoss.
“Saya lihat terdapat satu mayat lelaki terbaring dalam keadaan terlentang dan hanya berseluar dalam.
“Isteri mangsa kemudian telah melutut berdekatan dengan tubuh lelaki tersebut dan hanya berdiam diri,” katanya.
Menurut Afzan, yang berada sejauh 2 kaki dari Samirah ketika itu, Samirah memandang ke arah kepala Nazrin selama lebih kurang lima minit.
Ditanya oleh peguam pembelaan, Muhammad Shafee Abdullah adakah mereka terlalu sibuk untuk melihat air muka Samirah, Afzan bersetuju mungkin begitu.
“Dia tidak pedulikan keselamatan diri sendiri dan berkeras mahu ke bilik itu untuk melihat suaminya?” kata Shafee.
“Ya,” jawab Afzan.
Pendengaran diteruskan di depan Hakim Mahkamah Tinggi Ab Karim Ab Rahman.