
Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, tarikh penamaan calon ditetapkan pada 2 Nov manakala pengundian awal pada 12 Nov ini.
“Tempoh berkempen 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon sehingga 11.59 malam 15 Nov,” katanya selepas mesyuarat khas di Putrajaya, hari ini.
PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan susulan kematian penyandangnya, Md Farid Md Rafik, 43, yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 Sept lalu akibat komplikasi jantung.
Farid yang juga naib ketua PPBM Tanjung Piai, memenangi kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 dengan majoriti 524 undi selepas menewaskan Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS).

Kerusi Parlimen Tanjung Piai mempunyai 53,528 pengundi berdaftar pada PRU14 dengan 56.8 peratus terdiri daripada pengundi Melayu, 41.64 peratus Cina, 1.01 peratus India dan lain-lain 0.55 peratus.
Azhar berkata, kos PRK ini dianggarkan RM2.67 juta dan SPR menyasarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi.
“Seramai 52,986 pemilih layak mengundi bagi PRK itu mengikut Daftar Pemilih Pilihan Raya suku kedua 2019 yang dikemas kini sehingga 23 Sept lalu, terdiri daripada 52,698 pengundi biasa, 280 pengundi awal dan lapan pengundi luar negara.”
Beliau berkata, Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di Pontian akan dijadikan pusat penamaan calon dan penjumlahan undi.
Katanya, seramai 1,019 petugas dilantik mengendalikan proses PRK Parlimen Tanjung Piai dan 28 pusat mengundi yang terdiri daripada 127 saluran akan digunakan.