Gajah Pygmy ditemui mati dengan 70 kesan tembakan

Gajah Pygmy ditemui mati dengan 70 kesan tembakan

Gajah jantan yang dianggarkan berusia antara 20 hingga 30 tahun dengan ketinggian 2.79 meter itu ditemui mati dalam keadaan terduduk berhampiran tebing sungai pada 26 September lalu.

Gajah jantan Pygmy ditemui mati berhampiran tebing Sungai Udin, Dumpas, Kalabakan Tawau, pada 26 September lalu.
PETALING JAYA:
Seekor Gajah Pygmy di Sungai Udin, Dumpas, Kalabakan Tawau merupakan mangsa terbaru pemburu haram apabila dibunuh dengan kejam dengan 70 kesan tembakan, kata Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli.

Kementerian itu berkata, gajah jantan yang dianggarkan berusia antara 20 hingga 30 tahun dengan ketinggian 2.79 meter itu ditemui mati dalam keadaan terduduk berhampiran tebing sungai pada 26 September lalu.

“Hasil pemeriksaan awal Jabatan Hidupan Liar Sabah mendapati ada kesan luka di bahagian pipi, kepala, badan dan punggung gajah berkenaan akibat tembakan senjata api serta gadingnya dipotong pemburu.

“Gajah tersebut dipercayai menderita kesakitan akibat tembakan sehingga mengakibatkan kematian. Kes ini disifatkan suatu jenayah hidupan liar yang zalim dan tidak berperikemanusiaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Gajah Pygmy merupakan spesis haiwan dilindungi bawah Jadual 1 “Spesies Dilindungi Sepenuhnya” Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah 1997 dan mereka yang terlibat boleh didakwa.

Kementerian berkata, pihaknya bersama polis akan membantu Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS) menjalankan siasatan dan menjejak penjenayah hidupan liar tersebut. Bukan itu sahaja, kes ini turut melibatkan penggunaan senjata api yang merupakan satu jenayah serius.

“Kerjasama JHLS dengan polis akan diperkukuhkan lagi dengan mencontohi model Operasi Bersepadu Khazanah antara PDRM dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta lain-lain agensi penguatkuasaan bagi membanteras jenayah ini daripada berulang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.