PKR sokong calon PPBM untuk PRK Tanjung Piai

PKR sokong calon PPBM untuk PRK Tanjung Piai

PKR akan mengerahkan seluruh jentera pilihan rayanya untuk membantu PPBM.

PETALING JAYA: PKR menyokong sepenuhnya calon PPBM untuk Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai, mengatakan ia akan membantu PPBM mempertahankan kemenangan Pakatan Harapan di Parlimen itu.

PKR membuat keputusan itu dalam mesyuarat majlis pimpinan pusatnya hari ini.

“PKR akan mengerahkan seluruh jentera pilihan raya parti untuk turun membantu PPBM dan PH,” kata Pengarah Komunikasi Fahmi Fadzil.

Kerusi Parlimen berkenaan kosong setelah kematian mengejut Md Farid Md Rafik pada 21 Sept berikutan komplikasi jantung.

Farid, yang juga naib pengerusi PPBM Tanjung Piai, menang di kerusi itu pada pilihan raya umum 2018 menewaskan Wee Jeck Seng dari MCA dengan majoriti 524 undi.

Sementara itu, PKR juga akan sentiasa berusaha mengukuhkan semangat perjuangan PH yang mempertahan Perlembagaan Persekutuan, terutama dalam isu kedudukan bahasa Melayu dan Islam.

Parti itu juga akan sentiasa mempertahan prinsip keadilan rakyat terutama dalam merangka dasar.

“PKR menegaskan bahawa semua pihak perlu mengelak dari menggunakan alasan agama dan kaum terutama untuk mengalih pandangan umum dari isu ekonomi dan agenda rakyat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.