Mak Yong libat hanya lelaki janggal, kata aktivis seni

Mak Yong libat hanya lelaki janggal, kata aktivis seni

Kerajaan Kelantan sebelum ini tidak membenarkan wanita terbabit dalam persembahan teater kecuali ia hanya membabitkan penonton wanita.

Mak Yong adalah satu seni persembahan warisan di Kelantan yang terkenal sejak turun-temurun. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Cadangan kerajaan negeri yang mahu penggiat seni di Kelantan tidak menjadikan peraturan hiburan, termasuk Mak Yong sebagai halangan untuk mengembangkan bakat kesenian disambut baik.

Bagaimanapun, seorang aktivitis Mak Yong, Farok Zakaria berpendapat usaha itu agak janggal sekiranya dilakukan dalam situasi hanya lelaki sahaja yang terlibat dalam pementasan Mak Yong.

“Pada saya, hasrat yang dicadangkan itu bagus, tetapi dalam situasi yang lain, ia sangat pelik dan janggal apabila penggiat Mak Yong lelaki menyanyikan lirik yang biasanya hanya orang wanita menyanyikannya sebelum ini.

“Saya berpendapat jika lelaki bertindak demikian, ia sudah dikira merosakkan Mak Yong. Jadi saya tegaskan, saya tetap suka Mak Yong perlu melibatkan wanita,” katanya hari ini.

Farok berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Menteri Besar Mohd Amar Nik Abdullah yang berkata, tiada halangan untuk penggiat seni menjalankan persembahan hiburan, termasuk Mak Yong sekiranya mereka mengikut garis panduan yang ditetapkan.

Mohd Amar berkata setakat ini, kerajaan negeri tidak membenarkan wanita terbabit dalam persembahan teater kecuali jika ia hanya membabitkan penonton wanita.

Farok, yang juga bekas pengarah Pusat Bahasa dan Pembangunan Insaniah (PBI) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berkata, Mak Yong adalah satu seni persembahan warisan di Kelantan yang dipersembahkan dalam masyarakat sejak turun-temurun, jadi tidak harus merosakkan kriteria dan kaedah persembahan itu.

Farok, yang merupakan profesor pelawat di Universiti Prince of Songkla, Pattani, Thailand, kini masih aktif berkecimpung dalam bidang kesenian Mak Yong.

“Berbeza di Pattani, kita masih mengekalkan persembahan Mak Yong seperti sediakala sebab bagi saya, wanita adalah ciptaan Allah.

“Sehingga sekarang, di Pattani orang masih meminati Mak Yong dan tidak puas melihat persembahan ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.