Jata pada gegantung bahasa Cina: Pemuda PPBM desak Nga mohon maaf

Jata pada gegantung bahasa Cina: Pemuda PPBM desak Nga mohon maaf

Exco Ashraf Mustaqim berkata tindakan menggunakan jata negara pada gegantung berbahasa Cina merupakan perbuatan "tuli" dan wajib dikecam.

PETALING JAYA: Pemuda PPBM mengecam dan mendesak Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming memohon maaf kerana gegantung bahasa Cina yang memaparkan jata negara bagi suatu program di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Min Te di Ayer Tawar, Perak.

Exco Pendidikan Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata tindakan menggunakan jata negara pada gegantung berbahasa Cina merupakan perbuatan “tuli” dan wajib dikecam kerana tidak menghormati semangat kebangsaan.

Mustaqim berkata Pemuda PPBM senada dengan Menteri Pendidikan Maszlee Malik, yang menegur sekolah berkenaan kerana tidak menggunakan bahasa kebangsaan pada gegantung itu.

Beliau menambah Nga, selaku timbalan speaker Dewan Rakyat, wajib menegur sekolah berkenaan dan tidak patut berkongsi gambar gegantung itu di media sosial.

“Selaku insan yang seharusnya mendaulatkan Perlembagaan, Nga tuli dalam memartabat maruah jata negara dan maruah bahasa Melayu yang didaulatkan melalui Akta Bahasa Kebangsaan yang digubah bawah payung Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mustaqim mengingatkan Nga bahawa Seksyen 2 Akta Bahasa Kebangsaan menetapkan segala urusan rasmi kerajaan harus menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantara.

“Nga seharusnya turut memohon maaf atas sifat lengai beliau atas kapasiti jawatannya,” katanya.

Nga berkongsi gambar gegantung itu di Instagram semalam bagi memaklumkan beliau akan melawat dan menyampaikan bantuan kepada sekolah itu esok.

Maszlee menegur Nga di laman media sosial itu dan berkata gegantung itu perlulah ditulis menggunakan bahasa kebangsaan memandangkan jata negara turut digunakan.

Nga memberitahu media bahawa gegantung yang dikongsinya itu bukan versi rasmi daripada sekolah berkenaan, dan versi rasmi memaparkan makluman program dalam bahasa Melayu dan Cina.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.