
Pada Jumaat, FTSE Russell mengumumkan Malaysia dikekalkan dalam penanda arasnya, Indeks Bon Kerajaan Dunia (WGBI), begitu juga China.
Pakar strategi pasaran Asia-Pasifik Axi Trader, Stephen Innes berkata, memandangkan dagangan ringgit tidak mengalami banyak perubahan minggu ini menjejaki prestasi yuan China, laporan itu sewajarnya menyokong prestasi mata wang tempatan minggu depan.
“Unjuran ringgit dilihat agak stabil minggu depan, sementara China akan bercuti panjang (1 hingga 7 Okt) bagi meraikan Hari Kebangsaan,” katanya.
Sementara itu, penganalisis pasaran FXTM, Han Tan berkata, daya tahan ekonomi Malaysia, seperti dibuktikan menerusi prestasi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar tahun ke tahun pada 4.7 peratus bagi separuh pertama 2019, mengalami cabaran luaran semasa.
“Bagi minggu hadapan, ringgit berbanding dolar AS dijangka melepasi 4.20, rintangan lebih sukar pada 4.23, manakala julat 4.16 terus berperanan sebagai paras sokongan jangka pendek,” katanya.
Bagi minggu yang baru berakhir, unit tempatan diniagakan kebanyakannya rendah sepanjang minggu, dipengaruhi terutama oleh ketidaktentuan dalam rundingan perdagangan AS-China, penurunan harga minyak mentah serta keputusan FTSE Russell mengenai semakan semula penyertaan bon kerajaan Malaysia dalam WGBI.
Ringgit susut kepada 4.1860/1900 berbanding dolar AS semasa mengakhir dagangan minggu ini daripada 4.1680/1720 pada Jumaat minggu lepas.
Mata wang tempatan bagaimanapun diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama, kecuali yen.
Ia kukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0292/0325 daripada 3.0297/0337 minggu lepas serta naik berbanding euro kepada 4.5732/5793 daripada 4.6040/6.101.
Unit tempatan melonjak berbanding pound British kepada 5.1433/1499 daripada 5.2196/2254 pada Jumaat minggu lepas namun susut berbanding yen kepada 3.8774/8818 daripada 3.8589/8637.