Peguam negara hanya boleh tuduh berdasarkan keterangan, kata peguam

Peguam negara hanya boleh tuduh berdasarkan keterangan, kata peguam

Peguam negara tidak siasat tetapi hanya mementukan apakah tuduhannya bawah undang-undang keseksaan, kata Syed Iskandar Syed Jaafar al-Mahdzar.

Peguam Syed Iskandar Syed Jaafar al-Mahdzar berharap peguam negara tidak tunduk pada tekanan dan merangka tuduhan yang tidak mengikut keterangan yang ada dan yang boleh diperiksa di mahkamah.
PETALING JAYA:
Peguam negara hanya boleh mendakwa suspek yang menyebabkan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim berdasarkan bukti yang dikumpul polis, kata seorang peguam.

“Peguam negara bukan penyiasat dalam sistem keadilan jenayah.

“Beliau hanya menilai keterangan-keterangan yang diberikan kepadanya dan memutuskan apakah tuduhannya bawah undang-undang keseksaan,” kata Syed Iskandar Syed Jaafar al-Mahdzar.

Beliau berkata polis akan siasat dan mengumpulkan keterangan dengan menemubual saksi dan menyoal suspek selepas jenayah berlaku.

“Sebab itu undang-undang memberikan kuasa kepada penyiasat untuk menahan suspek sehingga 14 hari, dan mencari serta merampas barang kes bagi menghentikan gangguan ke atas keterangan dan saksi,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas seruan Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin yang menyeru Peguam Negara Tommy Thomas meletak jawatan selepas koroner semalam memutuskan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim bukan kemalangan.

“Demi menjaga maruah Malaysia dan kepercayaan rakyat terhadap sistem keadilan, mengelakkan ketegangan antara kaum, menghindari salahguna kedudukan dan kuasa maka Thomas wajib berundur dari jawatan beliau sebagai peguam negara,” katanya di Facebook.

PAS dan Umno juga menyeru Thomas meletak jawatan atau bercuti. Seruan itu dibuat oleh Timbalan Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shari dan Exco Pemuda Umno Muhammad Faiz Hashim.

Syed Iskandar menegaskan dia bukannya mempertahankan Thomas tetapi jawatan peguam negara selaku pelindung kepentingan awam.

“Ini tidak bermakna peguam negara perlu tunduk pada tekanan dan merangka tuduhan yang mungkin tidak mengikut keterangan-keterangan yang ada dan yang boleh diperiksa di mahkamah,” katanya.

Koroner Rofiah Mohamad berkata lebih daripada dua orang yang tidak dikenali membunuh anggota bomba itu, yang meninggal dunia selepas tercedera apabila dia dihantar ke tempat kejadian rusuhan di luar Kuil Sri Mahamariamman pada November tahun lepas.

Beliau berkata kesimpulannya itu berdasarkan pernyataan saksi sepanjang inkues 41 hari ke atas kematian Adib.

Rofiah menyerahkan kepada ketua polis negara dan peguam negara untuk melakukan siasatan lanjut dan pendakwaan.

Syed Iskandar berkata peguam negara tiada kawalan ke atas inkues kerana ia hanya siasatan bagi menentukan punca kematian seseorang.

“Beliau dan pegawainya hanya membantu koroner membuat dapatan. Ia bukan perbicaraan di mana seseorang didakwa,” katanya.

Syed Iskandar berkata dapatan Rofiah dalam inkues itu tidak sejajar dengan keterangan-keterangan bebas yang dibentangkan dalam prosiding itu.

“Pegawai penyiasat Lew Keng Joe memberitahu inkues tiada kenyataan saksi menunjukkan anggota bomba itu diserang dalam kejadian di kuil itu tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata koroner menolak keterangan pakar forensik Dr Ahmad Hafizam Hasmi, yang menjalankan bedah siasat, dan memberitahu mahkamah dia tidak temui kecederaan yang konsisten dengan perbuatan ganas.

Hafizam juga memberitahu mahkamah Adib dilanggar kenderaan bomba yang dihantar ke tempat kejadian.

Syed Iskandar berkata Rofiah sebaliknya menerima pernyataan pensyarah fizik UiTM, Amir Rafzi Ab Ghani, yang mencadangkan Adib ditarik keluar daripada van bomba.

Adib, 24, meninggal dunia kerana kecederaannya di Institut Jantung Negara pada 17 Dis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.