Ahli akademik gesa fatwa haram Syiah disemak semula

Ahli akademik gesa fatwa haram Syiah disemak semula

Dakwaan Syiah sebagai sesat dan menyimpang timbul disebabkan kurang kefahaman dan prasangka buruk.

Prof Syed Farid Alatas (tengah) hadir forum “The Voice of Ummah” di Istac, hari ini
KUALA LUMPUR:
Fatwa yang menetapkan Syiah sebagai ajaran menyimpang daripada Islam perlu disemak semula susulan konsesusnya hanya mengambil kira pandangan bertentangan dalam kalangan agamawan Sunnah, kata seorang ahli akademik.

“Semestinya, kita perlu melihat kembali (fatwa) pada era 90-an dan 80-an di mana mengamal Syiah tidak dianggap salah,” kata pakar sosiologi, Syed Farid Alatas selepas menghadiri forum bertajuk “The Voice of Ummah” di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (Istac) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian apabila ditanya FMT sama ada wajar fatwa yang memutuskan Syiah sebagai sesat dan menyimpang daripada ajaran Islam disemak semula.

Jelasnya lagi, sikap agamawan yang sentiasa berprasangka negatif terhadap Syiah menyebabkan ramai terpengaruh dengan fahaman itu sedangkan aliran itu juga merupakan sebahagian daripada Islam.

Syiah, aliran Islam kedua terbesar mempunyai banyak pengikut di Iraq, Iran, Kuwait, Bahrain, Lubnan dan beberapa bahagian di Arab Saudi, Yemen dan Pakistan.

Pihak berkuasa Islam negeri mengisytiharkan ajarannya sebagai “menyimpang”, dengan khutbah di Selangor sering mengutuk pengikutnya sebagai sesat.

Mengulas lanjut Syed Farid berkata, tindakan pihak berkuasa terhadap penganut Syiah dalam serbuan di beberapa negeri awal bulan ini “tidak berperikemanusiaan dan ganas”.

“Sebutkannya, saya katakan ia sebagai ‘barbaric’.”

Katanya, mereka yang ditahan dan diserbu hanya mengamalkan ajaran Islam yang “sedikit berbeza” dengan fahaman majoriti orang Islam di Malaysia.

Tindakan tersebut disifatkannya tidak boleh diterima untuk diperlakukan kepada mana-mana individu yang dilindungi hak mereka.

“Adakah kita ingin melihat negara ini menjadi negara ekstremis (agama)?” katanya merujuk serbuan dibuat ke atas pengikut Syiah di Johor dan Selangor, awal bulan lalu.

Serbuan pihak berkuasa negeri terbabit menerima kritikan hebat daripada pelbagai pihak, termasuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang menyifatkan tindakan itu melanggar hak perlembagaan pengikut Syiah untuk bebas mengamalkan agama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.